Semua firma pemegang amanah dan rumah terbitan yang menyediakan perkhidmatan pasaran modal perlu mendaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) di bawah rangka kerja pendaftaran baharu berkuatkuasa 2 Januari 2019.

Menurut satu kenyataan hari ini, SC menyebut, rangka kerja pendaftaran baharu itu, Garis Panduan Pendaftaran dan Tatalaku Perkhidmatan Modal Pasaran (Guidelines on Registration and Conduct of Capital Market Services Providers) adalah untuk meningkatkan standard tatalaku mereka dan mengukuhkan keyakinan serta kepercayaan pelabur terhadap pasaran modal.

“Memandangkan fungsi penting dilaksanakan pemegang amanah dalam melindungi aset dan kepentingan pelabur, SC memperkenalkan Garis Panduan baharu itu untuk menyeragamkan keperluan sedia ada juga memperkenalkan kriteria pendaftaran, seperti standard kemasukan serta kewajipan tatalaku yang berterusan untuk mewujudkan tahap kesaksamaan dalam kalangan pemegang amanah.

“Ini susulan maklum balas diterima daripada pihak industri melalui kertas perundingan awam yang dikeluarkan pada 2016,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, untuk meningkatkan kecekapan, garis panduan baharu akan melaksanakan pendaftaran hanya sekali dan bukannya pendaftaran mengikut produk semasa yang memerlukan pemegang amanah memperbaharui pendaftaran secara berkala.

“SC juga meningkatkan pengawasan terhadap pemegang amanah bagi memastikan mereka terus kekal sesuai dan layak untuk menjalankan kewajipan dan tanggungjawab mereka,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut, rangka kerja pendaftaran baharu itu sejajar dengan usaha SC menyusun semula pendekatan kawal selianya bagi meningkatkan ekosistem pasaran modal.

“Ia juga adalah untuk memastikan penyedia perkhidmatan pasaran modal mengutamakan kepentingan pelabur dalam semua proses pembuatan keputusan mereka,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, rangka kerja itu memberikan lebih penekanan kepada tanggungjawab lembaga pengarah dan pihak pengurusan agar bertanggungjawab terhadap tatalaku entiti berdaftar dan wakil mereka.

- Bernama