Paling Popular
Terkini
story images
story images

Datuk Dr Logan Bala Mohan yang mengaku menjadi jurucakap MyPPP versi Presiden Datuk Seri Maglin D'Cruz mengalu-alukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mana-mana ahlinya berikutan dakwaan Tan Sri M Kayveas berkenaan kemasukan dana berjumlah RM36 juta yang dikaitkan dengan 1MDB kepada MyPPP.

Kayveas juga mengakui menjadi Presiden MyPPP dan jawatan itu masih dalam pertikaian undang-undnag.

Logan Bala berkata tidak ada kemasukan wang sebanyak itu kepada MyPPP.

“Segala keputusan sebelum pemecatan Kayveas sebagai presiden, adalah diputuskan oleh dia.

“Kayveas mendakwa bahawa duit itu dikutip oleh enam orang ahli MyPPP, jadi dia sepatutnya dedahkan siapa, orang ramai berhak tahu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur.

Logan turut menunjukkan sembilan salinan laporan polis terhadap Kayveas yang dibuat oleh ahli MyPPP melibatkan dakwaan penyalahgunaan dana dan aktiviti penjualan darjah kebesaran sejak Julai lalu.

Bagaimanapun, katanya MyPPP yang diwakilinya itu belum dihubungi tentang perkembangan laporan tersebut.

Seorang lagi yang mengaku menjadi jurucakap MyPPP Datuk Simon Sabapathy (gambar) memberitahu bahawa dia dihubungi pegawai SPRM tengah hari semalam, bertanyakan jika dia tahu tentang kemasukan duit dari Umno kepada MyPPP, seperti yang dilaporkan The Star semalam.

“Saya jawab tidak tahu. Segala dokumen, jika ada, mungkin ada pada Kayveas sendiri, setiausahanya (yang dirujuk sebagai Ms Tan), di dalam bangunan MyPPP di Kampung Atap atau di tempat penyimpanan di Subang.”

“Tak ada sesiapa tahu tentang duit dipindahkan kepada sesiapa pun. Yang tahu jumlah duit itu adalah Kayveas,” katanya.

Menjelaskan lanjut tentang tempat simpanan di Subang itu, katanya, barang-barang Kayveas telah dipindahkan ke situ kerana keengganannya untuk mengosongkan bangunan MyPPP.

“Kami membuat laporan polis, notis dikeluarkan agar dia mengosongkan bangunan. Dia tidak mahu. Jadi kami bungkus dan hantar barang itu di satu tempat penyimpanan di Subang.

“Itulah yang berlaku. Jadi apa-apa dokumen mungkin ada di situ,” tambahnya.

Selain itu, beliau turut memaklumkan satu mesyuarat bersama 31 ahli majlis tertinggi MyPPP versinya yang bakal diadakan nanti bagi berbincang mengenai isu ini.

Sementara itu, Datuk Seri Maglin D'Cruz (gambar) yang mengaku Presiden MyPPP turut memberitahu bahawa dia komited untuk membantu pihak berkuasa dari apa-apa segi pun bagi meletakkan pengakhiran terhadap tuduhan itu dan membersihkan nama MyPPP.

Semalam, Kayveas dipanggil SPRM untuk disoal siasat mengenai dakwaan dia menerima dana yang dikaitkan dengan 1MDB.

“Ada dua amaun, satu RM16 juta dan satu lagi RM20 juta yang dikumpul mereka (ahli MyPPP yang tidak dinamakan) selepas mereka 'memecat’ saya.

“Saya telah memberikan nama enam orang yang kutip duit itu kepada SRPM,” Kayveas dipetik berkata.

Selepas menerajui parti itu selama lebih dua dekad, Kayveas pada awal April 2018 lalu mengumumkan meletak jawatan presiden parti itu.

Tarik balik letak jawatan

Kemudian pada 30 April 2018, Kayveas mengisytiharkan beliau akan "bertugas semula" sebagai presiden parti dan menarik balik surat peletakan jawatannya.

Bagaimanapun Datuk K Mohan yang mengaku sebagai Setiausaha Agung MyPPP berkata parti itu telah memecat Kayveas sebelum menerima surat perletakan jawatannya.

Mohan berkata mesyuarat lembaga disiplin MyPPP pada 24 April lalu memutuskan untuk memecat Kayveas.

Seterusnya, pada 26 Mei 2019, Maglin Dennis D'Cruz berkata Kayveas sah dilucutkan jawatan Presiden MyPPP dan digantikan dengan beliau.

Sehari kemudian, Kaveas menjawab berkata beliau masih menjadi Presiden MyPPP yang sah.

Pertikaian kepimpinan MyPPP masih lagi dalam penelitian Pendaftar Pertubuhan (ROS), namun Kayveas mendakwa menerima surat bertarikh 18 Mei daripada ROS yang menurutnya mengesahkan beliau masih presiden sah MyPPP.

Lihat Komen
ADS