Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Warga emas maut digilis bas di terminal bas Larkin Sentral
Diterbitkan:  Oct 20, 2018 6:03 AM
Dikemaskini: 10:06 PM

Seorang wanita warga emas maut selepas digilis sebuah bas ekspres di Terminal Bas Larkin Sentral di sini, tengah hari semalam.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan ACP Shahurinain Jais berkata mangsa Er Shok Siew, 80, bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada 7.50 malam ini ketika dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

"Dalam kejadian 1 tengah hari itu, mangsa terlibat dalam kemalangan di mana kedua-dua kaki digilis sebuah bas ekspres di terminal terbabit," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Shahurinain berkata pemandu bas berusia 61 tahun itu akan ditahan bagi membantu siasatan.

Terdahulu, gambar dan video berdurasi 26 saat yang menunjukkan seorang wanita cuba melintas dalam kawasan terminal sebelum digilis sebuah bas ekspres, telah tular di media sosial.

Dalam kenyataan berasingan, Anggota Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir berkata pihaknya telah meminta pihak pengurusan terminal untuk mengemukakan laporan segera berhubung kejadian terbabit.

- Bernama

Lihat Komen
ADS