Hujan lebat, SAR tanah runtuh ditangguh 4.45 pagi
Pihak berkuasa terpaksa menangguhkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh yang dikhuatiri tertimbus dalam kejadian di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong selepas hujan lebat awal pagi ini.
Timbalan Komander Operasi SAR kejadian itu, Mohd Tarmizi Mat Jaafar yang juga pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) bersama unit anjing pengesan (K9) bomba yang terlibat dalam operasi itu terpaksa menangguhkan pencarian kerana bimbang berlaku tanah runtuh di lokasi yang sama.
"Pasukan SAR menangguhkan operasi pada pukul 4.45 pagi ini selepas hujan lebat dan semasa hujan tiada tanah runtuh berlaku di kawasan itu. Sehingga pukul 7.30 pagi ini kami belum memulakan lagi (operasi) kerana perlu membuat pemantauan dan pemeriksaan di kawasan kejadian.
"Ia bagi melihat keadaan sama ada terdapat pergerakan tanah, pengaliran air atau sebagainya dan selepas itu kami akan mengadakan mesyuarat bagi menentukan sama ada situasi selamat untuk meneruskan operasi SAR," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Hujan lebat berhenti kira-kira pukul 6.30 pagi dan tinjauan Bernama di pintu masuk lokasi kejadian tanah runtuh itu mendapati kawasan tenang dengan hanya kenderaan bomba dan polis keluar masuk sejak tengah malam tadi.
Kejadian tanah runtuh yang dilapor pada pukul 1.56 tengah hari semalam itu sehingga kini menyebabkan tiga pekerja asing maut, tiga cedera manakala 10 lagi dikhuatiri masih terperangkap dalam runtuhan tanah.
Kejadian selepas hujan lebat di negeri ini sejak petang Khamis hingga tengah hari semalam itu melibatkan runtuhan tanah di bawah kawasan kontena dan pondok kongsi di tapak pembinaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus.
Petang semalam dua mayat ditemukan iaitu lelaki Indonesia Samsul Asman, 19, dan lelaki Bangladesh Attrul, 35, manakala mayat Khin Aye Khaing, 33, wanita Myanmar ditemukan pukul 1.30 pagi ini.
- Bernama

