Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) hari ini mempertahankan kenyataan Menteri Air, Tanah, dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar bahawa air dari paip selamat untuk diminum.
"SPAN menyokong penuh kenyataan Xavier semasa sidang Dewan Rakyat baru-baru ini bahawa air daripada sistem bekalan air adalah bersih dan selamat serta boleh diminum secara terus.
"Di Malaysia, air yang dirawat dan dibekalkan kepada orang ramai mematuhi standard kualiti minimum yang ditetapkan Kementerian Kesihatan berdasarkan Garis Panduan Kualiti Air oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO)," kata Ketua Pengarah Eksekutif SPAN Datuk Mohd Ridhuan Ismail dalam kenyataan hari ini.
Katanya lagi, operator-operator air, Kementerian Kesihatan dan SPAN mengadakan pemantauan berterusan untuk memastikan kualiti air sentiasa selamat dan mematuhi standard.
Bawah Program Kebangsaan Kawalan Mutu Air Minum, Kementerian Kesihatan mengambil sampel daripada loji dan sistem agihan secara berterusan untuk ujian.
"Tidak kurang daripada 38 jenis parameter fizikal, kimia dan mikrobiologi dianalisis bermula daripada muka sauk loji rawatan air hingga ke sistem agihan dengan kerjasama Jabatan Kimia Malaysia.
"Terdapat 6,108 stesen persampelan yang terdapat di semua 500 buah loji rawatan air serta sistem agihan di seluruh negara dengan jumlah sampel melebihi 186,000," katanya lagi.
Beliau berkata ujian juga menunjukkan air paip bebas daripada kuman E Coli.
Katanya, pengklorinan adalah cara paling efektif bagi membunuh bakteria.
"Maka tidak timbul isu kewujudan E Coli di sistem bekalan awam yang boleh memudaratkan kesihatan," katanya lagi.
