PKR Melaka sasar 40 peratus keluar mengundi
PKR Melaka menyasarkan sekurang-kurangnya 40 peratus daripada 9,387 anggotanya yang layak mengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka untuk memilih pemimpin peringkat pusat dan cabang masing-masing.
Pengerusi PKR Melaka Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata cuaca baik hari ini dan kemudahan pengundian canggih disediakan seperti sistem e-undi serta pengimbas kad pengenalan diharap dapat mengalakkan lebih ramai keluar mengundi.
"Melihat minggu pertama pemilihan di Kedah dahulu sememangnya terdapat beberapa masalah (pengundian) namun ia telah diperbaiki selepas itu dan di Cabang Jasin merupakan perintis untuk sistem pengimbas kad pengenalan.
"Sistem ini akan dapat membantu memendekkan masa beratur menunggu giliran dan harap dapat menggalakkan lebih ramai keluar mengundi," katanya kepada pemberita selepas mengundi bagi PKR Cabang Jasin di Dewan Majlis Perbandaran Jasin di Lipat Kajang di Jasin.
Pada pemilihan kali ini, Shamsul Iskandar yang juga Timbalan Menteri Industri Utama bertanding bagi ketua PKR Cabang Jasin dan mempertahankan jawatan naib presiden PKR.
Sementara itu, Shamsul Iskandar berkata sebagai pengerusi PKR Melaka beliau menasihatkan mereka yang dipilih untuk jawatan di peringkat Cabang di negeri ini supaya melaksana tanggungjawab dan amanah diberikan oleh anggota parti kepada mereka.
"Jawatan itu bukan untuk kebanggaan tetapi sebagai tanggungjawab dan amanah yang perlu dilaksanakan. Penting (selepas) kemenangan ini mereka berikan khidmat kepada rakyat," katanya.
Sementara itu, Jawatankuasa Pemilihan Parti PKR Melaka menerusi kenyataan memberitahu seramai 2,635 anggota parti itu keluar mengundi setakat pukul 1 tengah hari.
Cabang Tangga Batu mencatatkan jumlah keluar mengundi teramai iaitu 591 orang diikuti Cabang Alor Gajah seramai 540 orang, Jasin (505 orang), Bukit Katil (437 orang), Kota Melaka (291 orang) dan Masjid Tanah (271 orang). Semua enam pusat pengundian bagi Pemilihan PKR Melaka akan ditutup 5 petang ini.
- Bernama

