Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
5 zon sungai di Kuantan berisiko banjir
Diterbitkan:  Oct 20, 2018 5:24 PM
Dikemaskini: 9:27 AM

Lima zon sungai di daerah ini telah dikenal pasti sebagai kawasan berisiko berlaku limpahan air sekiranya hujan tanpa henti berlaku pada musim tengkujuh nanti.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang Abdul Rahim Muda berkata zon berkenaan kini di dalam pemantauan pihak Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk tindakan lanjut.

“Lima zon sungai ini ialah Zon Sungai Galing, Zon Sungai Pandan, Zon Sungai Belat, Zon Sungai Isap dan Zon Sungai Tiram.

"Ia berdasarkan kejadian yang pernah berlaku sebelum ini dan pemantauan serta penyelenggaraan sedang giat dilakukan oleh pihak yang berkaitan untuk mengelakkan limpahan air berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Sayangi Pantai Kita anjuran Jawatankuasa Kerja Alam Sekitar dan Kesedaran Awam, MPK dan Petron Malaysia di Pusat Rekreasi Air, Pantai Balok, di Kuantan hari ini.

Perparitan, keadaan pokok, pusat pemindahan

Turut hadir Yang Dipertua MPK Datuk Fadzilla Salleh dan Ketua Pengedaran dan Operasi Terminal Petron Malaysia, Ibrahim Atan.

Sementara itu, Fadzilla berkata MPK telah bersedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan banjir sejak bulan lepas lagi berikutan musim tengkujuh.

Terdapat tiga perkara yang diberi perhatian oleh pihak MPK menjelang musim banjir iaitu perparitan, keadaan pokok-pokok, dan persiapan kemudahan di pusat pemindahan banjir di bawah seliaannya, kata beliau.

“Bagi isu perparitan, kita mula menyelenggara longkang kita supaya tidak timbul isu banjir kilat sekiranya hujan lebat, selain melakukan gotong-royong membersihkan rumput dan sampah sarap di dalam longkang bagi mengelakkan ia tersumbat dan menghalang aliran air.

"Bagi pokok pula, kita telah menggerakkan pasukan kita untuk memotong mana-mana pokok yang dilihat merbahaya kepada orang ramai dan sentiasa bersedia untuk menerima laporan daripada orang ramai,” katanya.

Sementara itu pada majlis berkenaan sebanyak 300 anak pokok Casuarina telah ditanam untuk dijadikan sebagai sebagai zon penampan di antara kawasan laut serta darat dan sejak ia dilaksanakan empat tahun lepas, lebih 3,500 pokok pelbagai variasi telah ditanam di seluruh Pahang.

- Bernama

Lihat Komen
ADS