Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sultan Nazrin: Rakyat, negara adalah amanah pemimpin
Diterbitkan:  Oct 20, 2018 9:14 PM
Dikemaskini: 3:34 PM

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini bertitah mengingatkan pemimpin negara bahawa negara ini dan rakyat adalah amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka, justeru harus dijaga dengan pemerintahan yang benar dan adil.

Titah baginda mereka perlu melaksanakan tanggungjawab itu dengan jujur dan berintegriti seiring dengan janji yang diberikan kerajaan yang dibentuk pasca Pilihan Raya Umum ke-14 apabila surat-surat rasmi kerajaan yang sebelum ini ditandatangani bawah klausa ‘Saya Yang Menurut Perintah’ ditukar kepada ‘Saya yang menjalankan Amanah’.

“Para ulama berpendirian bahawa agama tidak akan tertegak, begitu juga dunia tidak akan menjadi baik tanpa keberadaan pemimpin yang bersikap amanah.

"Kebaikan sesuatu bangsa dipengaruhi oleh sifat pemimpinnya, kerana itu tokoh sosiologi Islam Ibn Khaldun meletakkan ukuran kebaikan sesuatu bangsa ditentukan oleh kualiti dan nilai kepimpinan bangsa tersebut,” titah baginda.

Sultan Nazrin yang juga Canselor Universiti Malaya (UM) bertitah demikian pada Istiadat Konvokesyen ke-58, universiti itu, di Kuala Lumpur.

Titah baginda amanah merupakan kunci penentu yang boleh membangunkan sesuatu bangsa, negara, tamadun dan keagungan sementara ketiadaan sifat amanah terbukti telah atau berpotensi menghancurkan sesuatu bangsa, negara, tamadun dan keagungan.

Titah Sultan Nazrin, amanah berdepan dugaan besar apabila pemimpin terkena penyakit tamak kuasa dan mendapatkan kuasa itu dijadikan matlamat yang diusahakan dengan menghalalkan cara.

“… dan penyakit gila kuasa menjadi bertambah kronik apabila pemimpin dikelilingi oleh barisan penasihat yang jahil,” titah baginda.

Ramai orang berpengetahuan, tapi...

Baginda juga bertitah dunia hari ini menghadapi ketandusan orang yang memiliki sifat amanah sekalipun mempunyai ramai orang berpengetahuan.

“Insan berpengetahuan yang diperlengkap dengan sifat amanah akan mempamerkan watak insan berilmu,” titahnya.

Sementara itu, Sultan Nazrin menzahirkan ucapan ucapan tahniah dan penghargaan kepada warga UM atas kejayaan melonjakkan kedudukan universiti dari tangga ke-114 tahun lepas ke ranking 87 terbaik di dunia menurut QS World University Rangkings 2018.

Konvokesyen kali ini menyaksikan 5,279 graduan menerima ijazah masing-masing dengan 540 menerima ijazah doktor falsafah, ijazah sarjana (1,768), ijazah sarjana muda (2,928) dan 43 graduan menerima Diploma Pasca Siswazah Pendidikan.

Konvokesyen kali ini turut mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Perubatan kepada Datuk Dr Mahmood Osman Merican dan Ijazah Kehormat Doktor Harta Tanah kepada Tan Sri Sr. Abdul Rahim Abdul Rahman serta gelaran Profesor Emeritus kepada Prof Datuk Dr Goh Khean Lee, Prof Datuk Dr. Norma Mansor dan Prof Ir Dr Masjuki Hassan.

Anugerah Pelajar Diraja

Sementara itu, graduan Fakulti Kejuruteraan Izzudin Aman Shah, 23 dan Chong Jing Sheng, 23, daripada Fakulti Sains dipilih sebagai penerima Anugerah Pelajar Diraja bersempena majlis konvokesyen tersebut.

Menurut kenyataan Universiti Malaya, Izzudin menamatkan pengajian dalam kejuruteraan mekanikal dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.78 sementara Chong pula menamatkan pengajian dalam bidang sains aktuari dengan PNGK 3.93.

Izzudin yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan juga merupakan bekas pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar, mencatatkan keputusan cemerlang sepanjang pengajiannya.

"Saya amat bersyukur dan berbangga atas kejayaan yang dicapai. Ia bukanlah mudah tanpa sokongan padu daripada ibu bapa dan kakak saya, pensyarah, rakan-rakan sepengajian,” katanya dipetik kenyataan itu.

Chong pula yang dilahirkan di Kota Kinabalu, Sabah dan membesar di Layang, Johor berkata kejayaannya adalah berkat usaha dan dorongan tenaga pengajar yang membolehkannya menerima Anugerah Dekan pada kebanyakan semester.

"Saya terharu kerana bukan mudah untuk mendapat anugerah ini. Pengurusan masa yang bijak, banyak menjalankan penyelidikan dan mengulang kaji pelajaran secara konsisten merupakan kunci kejayaan saya," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS