Seorang pembantu awam hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas tuduhan menerima rasuah daripada sebuah syarikat pembalakan.

Suhaimee Wan Mohamad, 35, yang kini bertugas di Pejabat Renjer Hutan Terengganu utara, Terengganu didakwa menerima RM500 supaya kerja-kerja pembalakan di kawasan Hutan Simpan Hulu Terengganu yang dilakukan oleh syarikat itu tidak diganggu.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Affin Bank Cawangan Kuala Terengganu, kira-kira pukul 1.38 tengahari, 23 Mei 2013.

Suhaimee, yang berkhidmat di Pejabat Renjer Hutan Ajil ketika kesalahan itu, dilakukan dakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Hakim Rofiah Mohamad membenarkan Suhainee dijamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 Nov untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Shahidah Muslimah Roslan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

- Bernama