Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

ULASAN | Salah satu penyakit masyarakat kita kini adalah betapa kita suka membuli dan menyakiti komuniti transgender.

Saban hari ada saja yang akan menulis kata-kata kesat yang ditujukan kepada komuniti itu demi sesaat populariti di internet.

Golongan transgender yang paling mudah dan kerap disakiti adalah mak nyah, atau transwoman, kerana identiti mereka jelas terlihat melalui zahir mereka.

Pastinya cabaran hidup sebagai mak nyah sangat besar. Antaranya didiskriminasi dalam banyak perkara dan melalui pelbagai bentuk, daripada diskriminasi sosial secara budaya sehinggalah ke diskriminasi struktural secara perundangan.

Diskriminasi itu semakin menjadi-jadi akibat tabu dan salah faham masyarakat. Ungkapan kebencian terhadap mak nyah berlaku hampir setiap hari, dan sering kali selebriti-selebriti mak nyah - di media perdana dan media sosial - dibuli hanya kerana menjadi diri sendiri.

Terbaru sebuah produksi menerbitkan iklan menjual snek yang menjadikan mak nyah sebagai sasaran keganasan sosial mereka.

Keganasan sosial adalah satu bentuk pembulian yang menidakkan kemanusiaan golongan sasaran sehingga mereka tidak lagi dianggap memiliki hak, apatah lagi hak yang perlu dibela.

Ia secara tidak langsung meletakkan golongan itu dalam keadaan bahaya kerana keganasan terhadap mereka sudah dianggap sebagai normal, atau lebih parah, sesuatu yang benar dan wajar.

Pastinya teknik pemasaran sebegitu sangat jijik. Mereka yang berfikiran waras serta-merta dapat melihatnya sebagai satu ungkapan kebencian.

Melawan dengan cara sendiri

Kenapa begitu ramai sekali yang menyokong pembulian ini? Di mana silap kita mendidik masyarakat sehingga tidak melihat golongan terpinggir dengan rasa empati, kesefahaman dan keterbukaan?

Kenapa setiap kali golongan terpinggir seperti mak nyah dibantai di media, banyak sekali orang yang menyokong dan menyebarkannya?

Pada masa ini, saya tiada jawapan untuk persoalan-persoalan ini.

Secara umumnya, saya lebih suka memerhati cara golongan terpinggir dan tertindas melawan ketidakadilan dalam hidup yang menghantui mereka setiap hari.

James C Scott dalam bukunya Weapons of the Weak: Everyday Forms of Peasant Resistance berkata, kita diperlihatkan dengan cara-cara halus "orang-orang kecil" dalam masyarakat melawan tata cara kekuasaan, atau status quo, yang kian mengcengkam.

Scott memperincikan bagaimana masyarakat yang berlum terorganisasi secara struktural - iaitu orang kampung yang hidup lebih terpencil berbanding golongan bandar - melawan pelbagai usaha yang mahu mengawal hidup mereka.

Bezanya bentuk perlawanan mereka lebih bersifat banal berbanding politikal. Misalnya melambatkan kerja, tidak memberi kerjasama, berpura tidak tahu tentang sesuatu perkara dan seumpamanya.

Langkah menyebarkan gosip juga merupakan satu bentuk perlawanan halus jika ia berhasil menghasut lebih ramai orang untuk menentang, biar pun secara kecil-kecilan.

Bagi saya, buku ini memberi idea berkenaan kadah perlawanan yang boleh digunakan golongan terpinggir dan tertindas.

Apa yang dilakukan oleh orang-orang di kampung dalam buku Scott setiap hari adalah melawan apa yang dinamakannya sebagai "transkrip awam" (perhubungan penindas dan yang ditindas di peringkat awam dan terbuka) yang mahu terus menekan.

Siapa jurucakap masyarakat?

Dalam kata lain, masyarakat telah diajar satu skrip untuk membenci golongan yang mudah menjadi sasaran keganasan dan mereka menerima dan menghafal skrip itu, sehingga mengekspresikan bahasa-bahasa keganasan tanpa rasa janggal.

Jika kita terpedaya dengan skrip yang mengajar untuk memijak golongan di bawah, maka termasuklah kita dalam golongan penindas.

Jadi walaupun produksi itu mati-mati percaya mereka adalah orang yang baik dan di pihak benar, bahasa seharian mereka mengungkapkan kebencian kepada golongan terpinggir seperti mak nyah.

Inilah gejala penyakit sang penindas.

Kita perlu lebih berhati-hati dalam memilih jurucakap dalam masyarakat. Besar kemungkinan kita hanya akan mengulang skrip sama golongan penindas.

Jika ia terjadi, kita akan menjadi sebahagian daripada masalah, bukan penyelesaian.

Jika wujud sebuah mesin pengimbas yang boleh mengesan penyakit sosial dan memaparkannya kepada kita setiap hari, mungkin kita akan mengambil tanggungjawab kemasyarakatan kita dengan lebih serius.

Tapi pada masa ini, ada cara yang lebih mudah untuk berhenti menyakiti golongan terpinggir seperti mak nyah. Iaitu banyak membaca dan mendengar tentang apa yang sedang berlaku dalam masyarakat, di sekitar kita.

Bacalah dan dengarlah atas nama tuhanmu yang menciptakan.


MARYAM LEE adalah seorang penulis dan aktivis.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS