Keluarga Diraja Johor melalui Yayasan Sultan Ibrahim meluaskan liputan projek Rumah Impian Bangsa Johor ke Mersing.
Projek berkenaan yang menawarkan rumah teres setingkat dan dua tingkat, berharga RM70,000 hingga RM200,000.
Perkara itu dikongsikan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini.
Antara kriteria pemohon yang ditetapkan adalah terdiri daripada rakyat Johor, pendapatan seisi rumah di bawah RM5,000, bukan anak sulung atau anak tunggal dan tidak pernah memiliki hartanah sendiri sebelum ini
"Sultan Johor mahu pengagihan yang adil kepada seluruh kaum Melayu, Cina dan India. Baginda mahu membina semangat kemasyarakatan," kata kenyataan itu.
Selain rumah mampu milik, jelas kenyataan itu, projek berkenaan akan turut menyediakan kemudahan dewan serbaguna, taman, kedai dan motel.
"Ia dibina dan dibiayai oleh Sultan Johor dan Tunku Mahkota Johor.
"Proses pemilihan yang ketat akan dilaksanakan dan disahkan melalui sistem komputer daripada UPEN. Jawatankuasa pemilihan terdiri daripada Setiausaha Negeri dan ahli-ahli lembaga Yayasan Sultan Ibrahim," kata kenyataan itu.
Yayasan Sultan Ibrahim pada 2017 melancarkan Rumah Impian Bangsa Johor di Johor Bahru.
