Tanah runtuh P Pinang: 3 lagi mayat ditemukan
Operasi mencari dan menyelamat mangsa tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong, di George Town, Pulau Pinang, yang masuk hari ketiga hari ini menemukan tiga lagi mayat mangsa runtuhan itu.
Ketiga-tiga mayat yang dijumpai hari ini ialah warga Bangladesh iaitu Mithu Hossain, 30, dan rakan sekampungnya Mustak Hossain, 25, serta Mohamad Abd Jalil, 31.
Mayat Mithu dan Mustak dijumpai bertindih antara satu sama lain empat meter di bawah runtuhan tanah itu, manakala mayat Mohamad Abd Jalil ditemukan dalam keadaan ngeri di bawah timbunan tanah di kedalaman 10 meter.
Penemuan tiga mayat itu menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang ditemukan mati dalam kejadian 1.56 tengah hari Jumaat itu ialah tujuh orang terdiri daripada dua lelaki Indonesia; empat lelaki Bangladesh dan seorang wanita Myanmar.
Dua mayat ditemukan pada Jumaat iaitu mayat Attrul, 35, (Bangladesh) yang dijumpai pada pukul 3.30 petang dan Samsul Asman, 19, (Indonesia) pada pukul 5.08 petang, manakala dua lagi mayat ditemukan semalam iaitu wanita Myanmar Khin Aye Khaing,36, (1.30 pagi) dan rakyat Indonesia, Bahtiar, 36, (11.55 pagi).
Kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan Lebuhraya Berkembar Jalan Bukit Kukus itu turut menyebabkan empat lagi mangsa cedera manakala tiga lagi masih hilang dikhuatiri tertimbus dalam runtuhan itu.
Seorang daripada mangsa yang cedera iaitu Shamim, 24, dari Bangladesh dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi hari ini dan dilapor dalam keadaan kritikal. Lelaki itu mengalami kecederaan dalaman.
Mereka yang dilapor masih hilang ialah lelaki Indonesia Subairi dan dua lelaki Bangladesh yang dikenali sebagai Ujal, 33, dan Rahat, 25.
Operasi mencari dan menyelamat ditangguh pukul 7 malam ini berikutan hujan lebat di kawasan runtuhan itu dan dijadual disambung semula 8 pagi esok.
Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang Mohamad Shoki Hamzah berkata tumpuan operasi esok ialah mencari sebuah daripada 13 kontena yang dilapor menggelongsor bersama runtuhan tanah dalam kejadian itu.
“Berdasarkan keterangan beberapa rakan mangsa, kami percaya ketiga-tiga mereka berada dalam sebuah kontena yang belum ditemui itu. Kontena itu dipercayai di bawah timbunan tanah dengan kedalaman kira-kira 20 meter… pihak kontraktor juga mengesahkan memang ada satu lagi kontena yang belum ditemui,” katanya.
Mohamad Shaoki berkata pihaknya menjangkakan terdapat sedikit kesukaran untuk mengeluarkan kontena itu kerana ia terjatuh ke dalam tempat takungan air dan tiada akses ke lokasi itu menyebabkan pasukan penyelamat terpaksa membina laluan ke situ.
”Kami perlu menggunakan jengkaut untuk mengeluarkan tanah runtuh sebelum mengalihkan kontena berkenaan. Kami harap operasi SAR esok dapat menemui kontena itu," katanya.
- Bernama

