Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jamil Kucing hantar memo isu pejabat Azmin esok
Diterbitkan:  Oct 22, 2018 11:39 AM
Dikemaskini: 3:42 AM

Aktivis haiwan, Jamil Ismail, akan menyerahkan memorandum kepada exco kerajaan Selangor esok sebagai langkah untuk mendapatkan semula suatu premis yang kini dijadikan pejabat seorang wakil rakyat di Ampang Jaya.

Jamil, 42, atau lebih dikenali sebagai Jamil Kucing, berkata bantahan itu dibuat kerana dia berpendapat sangat tidak wajar pihak berkuasa tempatan yang didakwanya 'merampas' premis itu kerana ia sepatutnya menempatkan kucing-kucing terbiar di Jalan Ayer Lama, Ampang Jaya.

Tambahan pula katanya premis tersebut dijadikan untuk pejabat orang politik.

Jamil yang dihubungi Malaysiakini berkata, dia akan menyerahkan memorandum bantahan tersebut kepada exco kerajaan tempatan, Ng Sze Han, di bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam pada jam 3 petang.

"Kami akan serahkan memorandum ini kepada exco esok dan segala surat menyurat juga akan kami serahkan kepadanya," katanya.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan kekecewaan Jamil apabila dia gagal menempatkan kucing-kucing terbiar di premis yang dijanjikan itu didakwanya ‘dirampas’ pihak berkuasa tempatan untuk dijadikan pejabat Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa Datuk Seri Azmin Ali.

Jamil berkata, dia terkilan kerana tidak dapat menggunakan bangunan yang telah dinamakan sebagai Taman Rekreasi Kucing Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) itu kerana akan dijadikan Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa.

Ekoran daripada itu, Kumpulan Otai Reformis pada Selasa lalu juga berkata pihaknya akan menulis surat kepada kerajaan Selangor bagi mendesak isu taman rekreasi terbabit diselesaikan.

Anggota jawatankuasa Otai Reformis, Abdul Razak Ismail, berkata perkara itu perlu diberi perhatian bagi memastikan tiada pihak yang dinafikan hak mereka.

Selain menjadi ADUN, Azmin juga ialah menteri hal ehwal ekonomi.

Lihat Komen
ADS