Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bergocoh lepas bergesel, 3 beranak dipenjara
Diterbitkan:  Oct 22, 2018 4:35 PM
Dikemaskini: 8:40 AM

Akibat mencederakan seorang lelaki yang merupakan jiran mereka dengan sebatang besi, topi keledar dan sebilah parang, tiga beranak masing-masing dihukum penjara lima bulan dan empat bulan oleh Mahkamah Majistret Selayang di Kuala Lumpur, hari ini.

Majistret Nurul Izzah Hasan Basri menjatuhkan hukuman penjara lima bulan terhadap Rosliza Md Isa ,31, manakala bapanya Md Isa Ismail, 63, dan adik lelakinya Ros Iman ,26, masing-masing dihukum penjara empat bulan dan mahkamah memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara bermula tarikh tangkap pada 12 September lepas.

Tiga beranak itu mengaku bersalah atas tuduhan bersama-sama dengan sengaja mencederakan S. Viknes Kumar, 23, dengan menggunakan sebatang besi, topi keledar dan sebilah parang di hadapan Blok D, Prima Selayang, PS1, Batu Caves di Kuala Lumpur pada 9.30 malam, 6 September lepas.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang boleh dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mahamad Amin memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran mengambil kira kesalahan yang dilakukan tertuduh diklasifikasikan sebagai gengsterisme.

Insaf dan menyesal

Md Isa dan Ros Iman yang diwakili peguam Azman Abdullah memohon hukuman penjara minimum bagi kedua-dua anak guamnya atas alasan mereka telah insaf dan menyesal.

“Kedua-dua anak guam saya memohon maaf kepada mangsa dan mahkamah serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu lagi. Kejadian ini tidak dirancang dan berlaku secara tidak sengaja kerana melibatkan perselisihan faham antara mereka,” katanya.

Bagaimanapun, Rosliza yang bekerja sebagai pengawal keselamatan tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan dia yang merupakan seorang ibu tunggal dan mempunyai dua anak serta menanggung kedua-dua ibu bapanya.

Di hadapan Majistret Iriane Isabelo, Rosliza turut didenda RM2,000 atau sebulan penjara jika tidak membayar denda itu kerana melakukan khianat dengan merosakkan cermin hadapan dan sisi kereta milik J. Darshana iaitu teman wanita Viknes Kumar di tempat dan tarikh dan masa sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dicederakan adik tertuduh dengan sebatang besi

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nur Shasha Hidayah Nor Azahar memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran bagaimanapun, Rosliza yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan dia penanggung tunggal keluarga.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian mangsa yang memandu kereta telah melalui lorong di belakang blok D pangsapuri itu dan telah berselisih dengan motosikal yang ditunggang oleh Rosliza dan pada masa sama Rosliza telah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap mangsa.

Mangsa yang cuba memandu keluar telah terlanggar ekzos motosikal milik Rosliza dan akibat marah dengan mangsa yang terlanggar ekzos motosikalnya, Rosliza kemudian bertindak menarik baju sambil meminta ganti rugi kerosakan pada motosikalnya dan mangsa yang ketakutan melarikan diri tetapi Rosliza bertindak memecahkan cermin kereta itu.

Sewaktu mangsa melarikan diri, Ros Iman telah datang dan mencederakan mangsa dengan sebatang besi sebelum dikejar oleh Md Isa dengan sebilah parang lalu mangsa membuat laporan di balai polis berdekatan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS