Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Guan Eng: Najib buat-buat keliru penjualan tanah k'jaan P Pinang

ULASAN | Bekas menteri kewangan Datuk Seri Najib Razak nampaknya buat-buat keliru antara tanah yang dijual oleh kerajaan negeri untuk hasil pulangan dan tanah yang dijual semata-mata untuk pembangunan nasional dan menambah peluang pekerjaan.

Apabila saya mengatakan bahawa kerajaan Pulau Pinang hanya menjual 106 ekar atau kurang 36 kali ganda dari 3,661 ekar yang dijual oleh kerajaan BN yang terdahulu, saya tidak menghitung sekali tanah yang dijual oleh kedua-dua kerajaan negeri dan BN untuk pembangunan dan pertambahan peluang pekerjaan.

Sebagai contoh, tanah yang dijual kepada syarikat multinasional di dalam sektor elektronik, atau untuk institiusi pendidikan, atau untuk membawa masuk game-changer ekonomi seperti IKEA di Batu Kawan oleh kerajaan HARAPAN atau untuk membina Zon Perdagangan Bebas Bayan Lepas oleh kerajaan lama BN, termasuk penambakan tanah berseberangan dari Pulau Jerejak.

Tanah ini yang telah dijual untuk pembangunan nasional dan ekonomi tidak termasuk di dalam perhitungan kami, hanya yang dijual untuk mengumpul hasil sahaja yang diambil kira.

Najib juga tersilap apabila dia mengatakan antara tanah yang telah dijual oleh kerajaan HARAPAN di bawah pentadbiran saya sebagai ketua menteri Pulau Pinang dari 2008 hingga 2018, termasuk tanah-tanah untuk tujuan projek-projek terowong dan Plan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP), di mana hak-hak penambakan tanah telah dijamin.

Projek-projek terowong ini merujuk kepada tanah reklamasi sebesar 1,000 ekar berhampiran Persiaran Gurney yang telah diberikan oleh kerajaan BN yang terdahulu dan dijual pada RM1 bagi satu kaki persegi dan 10 peratus tanah diserahkan kepada kerajaan negeri.

Sebagai ketua menteri Pulau Pinang ketika itu, tawaran tanah sebanyak 10 peratus ini telah ditingkatkan kepada 20 peratus tanah untuk diserahkan kepada kerajaan negeri.

Sedangkan untuk PIP pula, hak-hak penambakan tanah masih belum mendapat kebenaran pihak-pihak berkuasa yang berkenaan dan tiada dana dan hasil telah dikutip.

Hutang paling rendah

Begitu juga dengan lebih dari 1,600 ekar tanah yang telah ditambak berhampiran Butterworh yang telah dijual oleh kerajaan BN yang terdahulu di mana hanya 5 peratus tanah yang ditebus guna diberikan kepada kerajaan negeri.

Sekali lagi kerajaan HARAPAN telah merundingkan semula dan meningkatkan nilai tanah yang ditebus guna ini diberikan kepada kerajaan negeri di Butterworth dinaikkan dari 5 peratus kepada 35 peratus iaitu sebanyak 7 kali ganda daripada tanah yang diberikan kepada kerajaan negeri.

Walaupun HARAPAN menjual 36 kali ganda kurang tanah, HARAPAN masih menerima lebih dana daripada BN kerana penjualan-penjalan tanah ini dilakukan secara tender terbuka dan bukannya rundingan terus oleh BN.

Hasil daripada jualan tanah oleh kerajaan HARAPAN telah digunakan untuk perumahan mampu milik, dan jumlah yang berbaki hanya merupakan 10.4 peratus daripada perbelanjaan negeri.

Maka, tidak tepat untuk mengatakan yang hasil kerajaan negeri dan lebihan-lebihannya datang hanya dari jualan tanah.

Najib cuba menumpang atas kejayaan kerajaan HARAPAN Pulau Pinang di dalam mengurangkan hutang-hutang kerajaan negeri sebanyak 90 peratus apabila kerajaan persekutuan mengambil alih hutang-hutang Perbadanan Bekalan Air (PBA) sebanyak RM655 juta.

Perlu diingatkan kerajaan persekutan mendapat aset-aset PBA sebagai ganti kepada pengambil-alihan hutang-hutang kerajaan negeri, iaitu aktiviti penstrukuran semula air yang sama seperti dilakukan dengan negeri-negeri lain.

Walaupun penstrukturan semula air yang sama juga dilakukan untuk negeri-negeri lain, hutang-hutang negeri mereka tidak berkurang seperti Pulau Pinang di mana Pulau Pinang berhutang yang paling sedikit di antara semua negeri.

Sehingga April tahun ini, 13 kerajaan negeri berhutang kepada kerajaan persekutuan sejumlah RM17.64 bilion. Daripada jumlah ini, Pahang mencatatkan hutang yang tertinggi sebanyak RM3.12 bilion sedangkan Pulau Pinang yang terendah sebanyak RM60.2 juta.

Bukankah kedudukan hutang terendah ini bukti keberkesanan pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang yang Cekap, Akauntabiliti, dan Telus (CAT)?

Berbeza dengan Najib, saya tidak akan membabitkan diri dengan serangan peribadi tetapi akan bergantung kepada fakta dan angka-angka untuk nyatakan kisah yang sebenar.


LIM GUAN ENG merupakan menteri kewangan dan anggota parlimen Bagan.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis atau organisasi yang diwakilinya dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS