Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nazri: Jangan salahkan SPRM siasat pemimpin Umno

Bekas menteri Datuk Seri Nazri Abdul Aziz mempertahankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyiasat pemimpin Umno dan menolak tanggapan bahawa siasatan berkenaan bermotifkan politik.

"Kita jangan lihat sedemikian, kita perlu menghormati kebebasan SPRM (dalam menyiasat kes). Apa yang SPRM buat kita terima.

"Jangan kaitkan (siasatan) di sebalik sesuatu. Apa yang SPRM buat kita kena hormati. Kalau nak bela diri pergi ke mahkamah. Jangan salahkan SPRM," katanya ketika ditemui pemberita di lobi parlimen hari ini.

Anggota parlimen Padang Rengas itu juga berkata bahawa beliau mempertahankan SPRM ketika menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 2004 hingga 2013.

"Saya yakin dan percaya pada kebebasan mereka (SPRM). Kalau mereka ambil suatu tindakan, kita kena hormati," katanya.

SPRM terlibat dalam siasatan bekas presiden Umno Datuk Seri Najib Razak, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmmad Zahid Hamidi yang akhirnya membawa kepada pendakwaan ketiga-tiganya di mahkamah.

Selain itu, SPRM juga sedang menyiasat Anggota Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Aziz Rahim dan anaknya.

Beberapa pemimpin Umno sebelum ini mendakwa siasatan SPRM ke atas pemimpin parti mereka bermotif politik.

Lihat Komen
ADS