Kementerian Pertahanan menyatakan pihaknya mengambil maklum dengan dakwaan bahawa terdapat pemegang kad pengenalan tentera yang cuba mengundi pada pemilihan PKR semalam.

Dalam kenyataan media hari ini, kementerian itu menegaskan bahawa tindakan disiplin akan diambil sekiranya siasatan mengesahkan insiden itu.

"Sekiranya didapati benar terdapat anggota tentera terlibat dalam insiden yang dinyatakan, tindakan disiplin sewajarnya akan diambil ke atas mereka berdasarkan perkara yang termaktub di dalam Perintah Majlis Angkatan Tentera (PMAT) Bil 3/1972 serta arahan semasa dari markas setiap perkhidmatan yang melarang penglibatan anggota ATM dalam kegiatan politik dan pilihan raya," kata kenyatan itu.

Bagaimanapun, tambah kenyataan itu, maklumat awal yang diterima menunjukkan tujuh individu yang disiasat polis berhubung dakwaan itu bukanlah terdiri dari anggota tentera.

Semalam, Anggota Majlis Pimpinan tertinggi PKR Elizabeth Wong mendakwa 30 individu dihalang dari mengundi di cabang Petaling Jaya Utara kerana memegang kad pengenalan tentera.

PKR kini sedang mengadakan pemilihan peringkat cabang dan pimpinan tertinggi seluruh negara sejak 22 Sept lalu dan dijangka berakhir 10 Nov ini.

Bagaimanapun, pemilihan itu dilihat tidak berjalan lancar dengan terjadi beberapa kekecohan, masalah teknikal dan dakwaan 'pengundi hantu'.