Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Julau jadi tumpuan saingan sengit timb presiden PKR

PEMILIHAN PKR | Ketika saingan jawatan timbalan presiden PKR semakin sengit terdapat dakwaan keraguan senarai keanggotaan di cabang terbesar parti itu di Sarawak yang boleh memberikan kesan terhadap keputusan pengundian.

Bulan lalu, Malaysiakini mendedahkan cabang itu merekodkan 2,147 peratus kenaikan keahlian pada bulan Jun sahaja.

Ini dianggap pencapaian besar memandangkan kawasan parlimen Julau yang teletak di selatan Sibu di Sarawak bukanlah kawasan yang padat dengan penduduk. Terdapat seramai 25,380 pemilih berdaftar di kawasan parlimen itu.

Susulan itu, PKR Sarawak menjalankan penyiasatan dan mendedahkan ada yang tidak kena dengan senarai anggota cabang tersebut.

PKR Sarawak telah cuba menghubungi 6,474 daripada 13,178 ahli baru cabang Julau melalui telefon dan mendapati:

  • 1,310 yang dihubungi menafikan berhasrat menyertai PKR atau bersetuju menjadi anggota PKR;
  • 237 mahu menjadi anggota PKR tetapi tidak pernah membuat permohonan keahlian, dan;
  • 5,018 lagi tidak dapat dihubungi.

Kejanggalan di cabang lain

Hal ini diperakui oleh Ketua Penerangan PKR Sarawak, Vernon Albert Kedit dalam akuan bersumpah bertarikh 17 Oktober lalu yang juga menjadi sebahagian aduannya kepada ibu pejabat parti.

Walaupun Malaysiakini tidak dapat mengesahkan dakwaan Kedit, pemeriksaan secara bebas pada senarai anggota cabang PKR di Julau mendapati 1,181 masukan tidak memiliki nombor identifikasi keahlian parti itu.

Terdapat sebanyak 584 nombor identifikasi keahlian yang sama ada muncul sebanyak dua atau tiga kali. Justeru, terdapat keadaan satu nombor keanggotaan PKR yang dimiliki oleh tiga nama yang berbeza dengan nombor kad pengenalan MyKad yang berbeza.

Menguji jika kejanggalan ini juga berlaku di cabang PKR lain, Malaysiakini memeriksa nombor identifikasi keahlian yang bertindih di tiga cabang lain - di Kapar, Hulu Selangor dan Pensiangan dengan anggota mencecah lebih 10,000 orang.

Dalam ujian ini, semua nombor identifikasi anggota adalah unik.

Dakwaan serius

Ditanya bagaimana kejanggalan dalam senarai cabang PKR Julau boleh berlaku, Timbalan Pengerusi PKR Sarawak See Chee How berkata semua 13,000 ahli baru didaftarkan secara manual (dengan tangan) dan kemudian diserahkan ke ibu pejabat parti.

"Ini dakwaan yang serius. Saya harap parti akan meneliti hal ini," katanya kepada Malaysiakini.

Cubaan untuk mendapatkan ulasan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution mengenai hal ini tidak berjaya.

Sementara itu, terdapat ramai orang yang menyuarakan ketidakpuasan hati selepas mendapati mereka menjadi anggota PKR Julau tanpa persetujuan mereka.

Pada 13 Oktober, akhbar The Borneo Post yang berpengkalan di Kuching memetik Kaya Usit mengadu isteri dan tiga anaknya didaftarkan sebagai ahli PKR di Julau tanpa pernah mengisi sebarang borang permohonan atau pernah bertemu sesiapa dari cbang PKR Julau.

Kaya berkata ahli keluarganya didaftarkan sebagai pemilih untuk kawasan parlimen Julau dan mempersoalkan jika nama mereka diambil dari pengkalan data Suruhanjaya Pilihan Raya untuk mendaftarkan mereka sebagai ahli cabang PKR Julau tanpa kebenaran mereka.

Pada 15 Oktober, harian itu melaporkan siasatan oleh Ketua PKR Cabang Julau, Semana Sawang menemukan tiga anggota Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) yang secara misteri termasuk ke dalam senarai ahli parti di bahagian itu.

Laporan yang sama memetik Anggota Parlimen Julau, Larry Sng berkata ahli PKR yang diragui keanggotaannya di Julau tidak patut mengundi. Beliau juga menggesa anggota PKR untuk membatalkan keahlian mereka di pusat khidmat parti itu di Julau dan Pakan.

Sng, yang menyertai PKR pada 11 Mei lalu mencabar Semana bagi jawatan ketua cabang yang disandangnya selama dua penggal. Sng juga bersaing jawatan majlis kepimpinan pusat (MPP) PKR.

Malaysiakini difahamkan rungutan mengenai senarai keanggotaan parti itu telah berulang kali dibangkitkan pemimpinnya semasa mesyuarat biro politik - badan eksekutif PKR - tetapi nampaknya belum ada lagi penyelesaian terhadap masalah itu.

Salah satu aduan tersebut dibuat oleh Semana kepada setiausaha agung parti pada 16 Ogos lalu.

Menurut See, satu pasukan dari ibu pejabat parti itu berada di Sibu baru-baru ini untuk menyiasat keanggotaan PKR Julau tetapi hasilnya masih belum tentu lagi.

Pertikaian terhadap integriti keahlian dan dengan itu senarai pengundi, telah membawa kepada masalah semasa proses pemilihan di Selangor, di cabang Petaling Jaya Utara dan Selayang.

Di kedua-dua cabang ini, pasukan pemeriksa calon telah menghentikan sejumlah besar anggota parti daripada mengundi berdasarkan alasan mereka telah didaftarkan sebagai anggota parti di cabang lain.

Dijangkakan pemimpin PKR akan membincangkan masalah percanggahan mengenai rekod senarai anggotanya semasa mesyuarat biro politik esok petang.

Ikuti keputusan terkini pemilihan PKR di sini.

[Baca berita penuh]

 

 

Lihat Komen
ADS