Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jenayah komersil: Lebih 21,300 kes, rugi RM4.2b - Polis
Diterbitkan:  Oct 22, 2018 9:07 PM
Dikemaskini: 1:09 PM

Sebanyak 21,374 pelbagai kes jenayah komersil dilaporkan tahun ini melibatkan kerugian kira-kira RM4.2 bilion, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh.

Antara jenayah komersil itu membabitkan kes African Scam, Macau Scam, Love Scam dan keldai akaun.

Beliau berkata jumlah kes komersil itu adalah bagi tempoh Januari sehingga semalam (21 Oktober) dan 56 peratus daripada jumlah kes itu melibatkan kes jenayah siber serta pinjaman tidak wujud.

Jumlah kerugian berkenaan dijangka meningkat lagi berikutan ramai lagi mangsa yang masih terperdaya dalam kes ini, katanya pada sidang akhbar kejayaan JSJK dalam ‘Op Seagull’ di Menara KPJ Health, di Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, polis menahan 27 individu warga tempatan di Melaka Tengah pada Sabtu lepas kerana disyaki membuka lima pusat panggilan Macau Scam di Pulau Pangkor, Perak.

Amar Singh berkata suspek terdiri daripada 21 lelaki dan enam wanita yang menjalankan kegiatan itu selama setahun di pusat panggilan berkenaan dengan mengakibatkan nilai kerugian berjumlah RM1 juta.

Skrip memperdaya mangsa

Beliau berkata mangsa terakhir mereka adalah pada 4 Oktober lepas, dengan jumlah kes bagi tangkapan itu sebanyak 221.

Sebelum itu, pada 14 Oktober, polis turut menahan lima individu iaitu tiga lelaki dan dua wanita tempatan disyaki membuka pusat panggilan yang sama beroperasi di Melaka Tengah.

Amar Singh berkata kesemua lima suspek berumur 23 hingga 42 tahun itu melakukan kegiatan berkenaan selama enam bulan di seluruh negara.

“Polis terima 54 laporan kes. Mereka pernah beroperasi di Kota Kinabalu dan Sandakan di Sabah dengan nilai kerugian RM345,000. Antara barang yang dirampas adalah 13 telefon bimbit, empat buku catatan serta beberapa skrip untuk memperdaya mangsa,” katanya.

Amar Singh menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya menerima panggilan yang tidak dikenali dengan meminta wang tunai serta membuat pengesahan dengan Bank Negara.

- Bernama

Lihat Komen
ADS