Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Amaran Najib: Batal ECRL tak maksud dapat balik RM10b
Diterbitkan:  Oct 22, 2018 11:13 PM
Dikemaskini: 3:19 PM

Membatalkan projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) tidak bermaksud kerajaan akan dapat mengembalikan RM10.02 bilion daripada projek itu, kata bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Najib berkata malahan sebaliknya kerajaan akan diminta oleh Export-Import Bank of Malaysia Bhd (Exim Bank) untuk mengembalikan RM19.68 bilion yang telah disalurkan kepada kontraktor projek China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

"Projek ini dibiayai oleh pinjaman mudah tempoh 20 tahun dari EXIM Bank China dan semua pembayaran RM19.6 bilion kepada CCCC setakat ini adalah terus daripada bank berkenaan.

"Jika projek itu dibatalkan sekarang, EXIM Bank akan membatalkan pinjaman kita dan akan minta untuk mendapatkan kembali pinjaman itu serta-merta.

"Oleh itu tidak mungkin Malaysia akan mendapat kembali RM10 bilion kerana ini akan dikembali kepada EXIM bank.

"Malahan, kita akan diminta membayar semula baki RM9.6 bilion lagi yang sudah dibayar EXIM Bank.

"Adakah kerajaan mengambil kira perkara ini dan menyediakan dana bagi membuat pembayaran ini?" Soal beliau dalam hantaran di Facebook hari ini.

Bayaran pendahuluan oleh MRL

Awal hari ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng memberitahu parlimen Malaysia Rail Link (MRL) Bhd boleh mendapatkan semula RM10.02 billion dari CCCC jika kerajaan membuat keputusan muktamad untuk membatalkan projek yang ditangguhkan ini.

Anggota Parlimen Bagan itu berkata angka tersebut merupakan pembayaran pendahuluan (deposit) yang dibuat oleh MRL kepada syarikat milik China.

"Perlu ditarik perhatian bahawa wang pendahuluan RM10.02 bilion boleh ditebus MRL sekiranya projek ditamatkan.

"Worse case scenario boleh dapat RM10.02 bilion daripada RM19.68 bilion yang telah dibayar (kepada CCCC setakat ini)," kata Lim ketika menjawab soalan Datuk Noh Omar (BN-Tanjong Karang).

Beliau juga menjelaskan baki RM9.67 bilion yang tidak dapat dituntut telah dibayar untuk projek itu sehingga 15 Februari tahun ini.

Lihat Komen
ADS