Persatuan Patriot Kebangsaan (PATRIOT) menggesa kerajaan agar menjalankan siasatan terperinci terhadap dakwaan penutupan kes gangguan seksual dan plagiarisme di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Presidennya Datuk Mohamed Arshad Raji berkata, tindakan perlu diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab tanpa mengira pangkat dan kedudukan dalam kerajaan.

Katanya, UPNM adalah kebanggaan bagi angkatan tentera justeru tidak boleh ada kompromi terhadap standard, disiplin dan mutu pendidikannya.

"Berkenaan dua kes yang dilaporkan, PATRIOT meminta menteri pertahanan dan menteri pendidikan agar mengambil tindakan segera, menyiasat kes itu secara terperinci, dan mengenakan tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab, tanpa mengira jika ada yang memegang jawatan tinggi.

"Kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) mesti menetapkan standard disiplin dan profesionalisme yang tinggi, dan tidak bertolak ansur terhadap pendidikan dan pengajaran yang tidak mencapai standard.

Bermula dengan UPNM, kerajaan perlu menghantar mesej jelas untuk menghentikan kerosakan yang berlaku," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas laporan Malaysiakini berkenaan dakwaan penutupan kes salah laku seksual melibatkan seorang timbalan dekan pada 2014 terhadap seorang pensyarah perempuan.

Pada 20 Oktober lalu, kementerian pendidikan dalam satu kenyataan berkata pihaknya telah menubuhkan jawatankuasa integriti akademik bagi menyiasat kes serupa pada masa akan datang.

Pada masa sama, kementerian juga sedang menyiasat kes tersebut dan telah mengarahkan UPNM memberi laporan penuh berhubung perkara itu.

Berkenaan dakwaan plagiarisme pula, panel universiti dilaporkan mendapati ada seorang pelajar perempuan meniru artikel dari BBC untuk satu tugasan.

Pelajar sarjana muda itu didakwa dibenarkan bergraduasi selepas satu panel baru ditubuhkan dan memberi markah A- untuk tugasan tersebut.

Arshad berkata seharusnya tiada tolak ansur terhadap pengajaran dan penandaan kertas tugasan dan peperiksaan yang tidak mencapai standard.

"Amalan plagiarisme di kalangan pelajar dan ahli akademik perlu dilihat sebagai larangan tanpa sebarang tolak ansur.

"Budaya bodek di kalangan ahli akademik dan kakitangan universiti juga perlu dihentikan," katanya lagi.