PARLIMEN l Isu penubuhan sebuah tribunal bagi menyiasat dakwaan salah laku oleh anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika menguruskan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak lagi berbangkit.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, ini susulan pelantikan Pengerusi SPR yang baru, Azhar Azizan @ Harun berkuatkuasa pada 1 Januari 2019 dan tindakan timbalan pengerusi serta empat anggota suruhanjaya itu bersetuju memendekkan tempoh perkhidmatan masing-masing.

“Buat masa ini berdasarkan perkembangan terkini mengenai peletakkan jawatan anggota-anggota SPR, maka isu penubuhan tribunal tidak berbangkit lagi,” katanya ketika menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) dalam Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Pada 18 Oktober lalu, SPR mengumumkan keputusan pemendekkan tempoh perkhidmatan lima anggota itu telah dicapai dan dipersetujui oleh semua pihak dan mereka akan mengosongkan jawatan masing-masing berkuat kuasa 1 Januari 2019.

Kelima-lima mereka adalah Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood dan ahli-ahli suruhanjaya, Datuk Md Yusop Mansur, Datuk Abdul Aziz Khalidin, Datuk Sulaiman Narawi dan Datuk Leo Chong Cheong.

Bagaimanapun ahli suruhanjaya, Datuk K Bala Singam masih meneruskan perkhidmatan.

Dalam perkembangan sama, Liew juga memaklumkan bahawa pelantikan Azhar telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong selepas mendapat nasihat daripada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Walaupun Azhar aktivis tapi beliau akan menjalankan tugas secara profesional supaya Malaysia Baharu dapat transformasi SPR dengan lebih bertanggungjawab sekali gus masalah lalu tidak berulang,” katanya.

Liew menjawab soalan tambahan daripada Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) mengenai jaminan Pengerusi SPR baharu dapat menjalankan tugas secara adil.

Mengulas lanjut, Liew berkata, beliau yakin bahawa SPR sedang menjalankan proses pembaharuan.

“Saya yakin Azhar akan menambah baik proses SPR dan memberi idea-idea dalam menyelesaikan masalah terdahulu,” katanya.