Mangsa banjir di Kota Star meningkat
Keadaan banjir di Kota Setar, Kedah semakin buruk ketika air di daerah lain seperti Kubang Pasu dan Padang Terap serta seluruh Perlis semakin surut.
Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di daerah Kota Star meningkat kepada 8,969 orang daripada 545 keluarga sehingga pukul 10 pagi tadi. Mereka ditempatkan di 23 pusat pemindahan.
Keadaan banjir di Kota Setar, Kedah semakin buruk ketika air di daerah lain seperti Kubang Pasu dan Padang Terap serta seluruh Perlis semakin surut.
Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di daerah Kota Star meningkat kepada 8,969 orang daripada 545 keluarga sehingga pukul 10 pagi tadi. Mereka ditempatkan di 23 pusat pemindahan.
Jurucakap bilik gerakan banjir daerah itu berkata peningkatan 1,410 mangsa berbanding hanya 7,559 semalam itu berlaku akibat kawasan masing-masing menerima limpahan air dari daerah Kubang Pasu dan Padang Terap.
Menurut laporan Bernama, semua mangsa dari 40 buah kampung, mukim Dehrang, Bukit Pinang, Telaga Mas, Pumpong, Anak Bukit, Gunung, Kota Star, Alor Merah dan Sungai Baru.
Jalan yang masih ditutup kepada kenderaan ringan antaranya ialah Lebuhraya Darulaman berhampiran Stadium Darul Aman dan Jalan Tambang Badak.
Di Padang Terap, seramai 518 mangsa daripada 111 keluarga masih ditempatkan di 10 pusat pemindahan di beberapa buah kampung sekitar mukim Belimbing Kiri dan Kanan, Tolak, Padang Temak dan Kurung Hitam.
Jurucakap bilik gerakan banjir daerah itu berkata mukim yang telah pulih sepenuhnya daripada banjir ialah Batang Tunggang Kiri serta Padang Terap Kiri dan Kanan.
Di Kubang Pasu, seramai 10,876 daripada 3,034 keluarga masih tinggal di 38 pusat pemindahan manakala 12 pusat telah ditutup mulai awal pagi tadi berikutankeadaan banjir yang semakin pulih.
Cuaca cerah
Jurucakap bilik gerakan banjir daerah itu berkata mukim yang masih dilanda banjir ialah Wang Tepus, Sungai Korok dan Jerlun manakala yang hampir pulih ialah Hosba, Temin, Sungai Laka dan Binjal.
Ketiga-tiga daerah itu yang mengalami keadaan cuaca cerah sejak tiga hari lepas dilanda hujan mulai awal pagi tadi.
Di Perlis, paras air di kebanyakan kawasan yang dilanda banjir beransur surut namun jumlah mangsa yang masih ditempatkan di pusat pemindahan masih tidak banyak berubah.
Pegawai Khas Menteri Besar Perlis, Yusof Othman berkata, di kawasan selatan Perlis, mangsa banjir mula mentaksirkan kerugian yang dialami berikutan banjir yang melanda tanaman padi mereka.
Di bandar Kangar, banjir telah pulih sepenuhnya dengan premis perniagaan mula beroperasi pada pukul 10 pagi.
Cuaca di Perlis pada sebelah pagi mendung dan sesekali hujan.

