Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib: Saya suka lurus, tak suka yang bengkok
Diterbitkan:  Oct 23, 2018 3:37 PM
Dikemaskini: 7:50 AM

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berkata beliau tidak suka dengan “jambatan bengkok”.

Katanya, idea itu tidak masuk akal, menelan kos banyak dan tidak menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas.

“Pertama, saya nak nyatakan saya tak suka yang bengkok, saya suka yang lurus,” katanya sambil disambut gelak ketawa sebahagian anggota Dewan Rakyat.

Beliau mengulangi alasan tidak menggantikan Tambak Johor kerana projek jambatan baru tidak mendapat persetujuan Singapura.

“Cadangan saya nak buat jambatan lurus lebih jimat kos dan ia boleh (dibuat dengan) reka bentuk lebih indah.

“Bukan saya menentang tapi ada kaedah yang sesuai yang jimat kewangan rakyat,” katanya.

Minggu lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata cadangan itu muncul kembali ketika mesyuarat bersama Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian bulan lalu.

Singapura minggu lepas berkata tidak menerima sebarang cadangan rasmi atau komunikasi dengan Malaysia berkaitan pembinaan jambatan bengkok atau jalan perhubungan baru yang menghubungkan kedua-dua negara.
Projek jambatan bengkok asalnya jambatan enam laluan bagi menggantikan Tambak Johor.

Bagaimanapun, memandangkan Singapura tidak bersetuju dengan projek itu, rekaannya diubah menjadi melengkung di bahagian sempadan Malaysia yang membolehkan kapal berlayar di bawahnya.

Ia lantas mendapat gelaran 'jambatan bengkok'.

Mahathir pada 2003, ketika menjadi perdana menteri kali pertama, memberi lampu hijau terhadap projek ini sebelum pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi membatalkannya.
Lihat Komen
ADS