Dr Wan Azizah akan lawat Vietnam, esok
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan melakukan lawatan rasmi tiga hari ke Vietnam mulai esok.
Menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra) hari ini, ini adalah lawatan rasmi pertama beliau setelah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 21 Mei.
Semasa lawatan di sana, Timbalan Perdana Menteri dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan Timbalan Perdana Menteri, yang juga Menteri Hal Ehwal Luar Vietnam, Pham Binh Minh, di mana kedua-dua mereka dijangka membincangkan isu hubungan dua hala yang meluas serta isu kepentingan bersama serantau dan antarabangsa .
"Lawatan rasmi beliau akan juga serentak dengan penyertaan beliau pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN bagi Wanita (AMMW) kali ketiga di Hanoi,” menurut kenyataan itu.
Dr Wan Azizah juga dijangka mengunjungi Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc, dan disusuli kemudiannya pertemuan dengan Pengerusi Wanita Perhimpunan Kebangsaan, Nguyen Thi Kim Ngan.
Menurut Wisma Putra, Timbalan Perdana Menteri akan juga menemui rakyat Malaysia yang tinggal di Hanoi.
Beliau akan diiringi oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya serta para pegawai dari Wisma Putra dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti.
Menurut Wisma Putra, tahun ini adalah ulangtahun ke-45 terjalinnya hubungan diplomatik antara Malaysia dan Vietnam.
“Kedua-dua negara terus mengekalkan hubungan erat dan dua hala yang meluas,” menurutnya.
Vietnam sebagai satu daripada rakan kongsi perdagangan yang penting kepada Malaysia dengan jumlah dagangan pada 2017 berjumlah US$1.7 bilion, satu peningkatan sebanyak 13.9 peratus dari 2016, menjadikan Malaysia rakan perdagangan terbesar dengan menduduki tempat ke-13 di dunia dan keempat dalam ASEAN selepas Singapura, Thailand dan Indonesia.
- Bernama

