Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Di sebalik masalah, PKR kekal dengan sistem e-undi
PEMILIHAN PKR | Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata parti itu akan meneruskan sistem e-undi dalam pemilihannya di sebalik banyak laporan masalah dengan kaedah itu.

Menjawab soalan pemberita, beliau berkata tidak semua tempat berdepan masalah dalam pengundian dan keutamaan sekarang adalah meningkatkan keutuhan sistem itu.

"Tidak sama sekali (kembali ke undian manual). Kita ada masalah ketika hari pertama pemilihan di Pulau Pinang dan Kedah.

"Selepas itu (pemilihan) di Johor, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perlis berjalan seperti dirancang. Cuma masalah (berulang) di Melaka (dan Negeri Sembilan). Di Selangor pada minggu berikutnya tiada masalah (pada sistem), masalahnya disipling anggota parti.

"Jadi keutamaan sekarang adalah mengemaskinikan lagi keutuhan sistem (e-undi). Jika ada masalah teknikal, bahagian teknologi maklumat dan teknikal akan membantu jawatankuasa pemilihan pusat (JPP)," katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Ketika pemilihan PKR bermula September lalu, keputusan pengundian bagi seluruh Kedah dibatalkan ekoran masalah teknikal.

Pada 20 Oktober lalu, berlaku masalah dalam pengundian di lima cabang PKR di Melaka dan satu di Negeri Sembilan menyebabkan keputusan tidak dapat dimuktamadkan.

Susulan itu, Pengarah JPP PKR Datuk Rashid Din keesokannya berkata pihaknya akan memutuskan sama ada pengundian semula perlu diadakan di cabang berkenaan atau tidak.

Saifuddin bagaimanapun berkata kepimpinan parti tidak memberikan tempoh masa tertentu untuk JPP menyelesaikan masalah itu.

"Mereka sedang meneliti (masalah yang timbul) dan akan membuat keputusan berdasarkan pilihan yang dibincangkan.

"(Tetapi) belum sampai tahap untuk batalkan (pengundian). Mereka masih dalam usaha untuk mengenal pasti punca masalah teknikal," katanya lagi.

 

 

Lihat Komen
ADS