Paling Popular
Terkini

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berpangkalan di Port Dickson meminta wakil rakyat baru mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi perhatian segera kepada lima perkara yang dibangkitkan semasa kempen pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu baru-baru ini.

Malaysian Tamilar Kural cawangan Port Dickson berkata sebagai anggota parlimen Anwar perlu turun padang untuk menyelesaikan beberapa masalah yang dihadapi oleh penduduk setempat, khususnya masyarakat India.

"Kami menyerahkan memorandum kepada Anwar semasa berkempen baru-baru ini.

"Beliau menandatangani memorandum tersebut dan berjanji untuk memberi perhatian khas kepada isu-isu yang dibangkit kami," kata Setiausaha Kehormat Malaysian Tamilar Kural, K Silvarany.

Menghubungi Malaysiakini, Silvarany berkata antara perkara yang paling munasabah untuk didahulukan oleh Anwar sebagai anggota parlimen Port Dickson ketika ini ialah masalah peluang pekerjaan.

"Ini bukan isu baru, dan kami percaya Anwar tahu masalah pekerjaan di Port Dickson.

"Malah, hampir 40 peratus pengundi Port Dickson berkerja di luar bandar ini dan ia menunjukkan pentingnya peluang perkerjaan ditangani segera segera," katanya.

Harga rumah tak sepadan gaji

Menurut Silvarany ramai penduduk Port Dickson terumata berusia di antara 21 dan 30 tahun bekerja sebagai pembantu pengusaha bot, pembantu gerai dan pusat beli-belah, mekanik atau di hotel.

Lebih mengecewakan katanya mereka menerima gaji kurang dari RM1,100 dan mendorong mereka berhijrah ke kawasan lain.

"Kalau dilihat kepada peluang pekerjaan kaum India, masalah lebih serius. Kami tidak diberi peluang membuka gerai atau kedai di kawasan tumpuan pelancong.

"Peluang di sektor awam makin ditutup. Semuanya dikuasai satu kaum sahaja gara-gara sikap rasis kerajaan terdahulu. Jadi, kami nak Anwar segera mengadakan perjumpaan dengan pihak berkuasa untuk menyelesaikan isu ini," katanya.

Sementara itu anggota jawatankuasa Malaysian Tamilar Kural, A Sivabalan berkata pembinaan rumah di Port Dickson perlu diberi perhatian khas.

Menurutnya, ketika ini harga minimum seunit rumah teres di Port Dickson berharga RM300,000 sedangkan kebanyakan penduduk terbabit menerima gaji bulanan kira-kira RM1,500 saja.

"Bagaimana kerajaan boleh mendakwa projek ini sebagai kemudahan rumah mampu milik?" katanya.

Anwar semasa tempoh berkempen PRK Port Dickson baru-baru ini

Seorang lagi anggota jawatankuasa pertubuhan itu P Vijayan meminta Anwar mengatasi masalah kemudahan mesin x-ray yang tidak dibekalkan di klinik kesihatan setempat.

"Di Port Dickson ada lima klinik kesihatan tapi tidak ada satu pun menyediakan perkhidmatan x-ray.

"Jika perlu x-ray, orang ramai terpaksa pergi ke Hospital Lukut. Bayangkan penduduk dari Teluk Kemang yang terpaksa ke Lukut untuk mendapatkan perkhidmatan itu.

"Kalau tak ada kenderaan sendiri, lagilah susah," katanya.

Menurut Vijayan, dia diberitahu kemudahan mesin x-ray ada di sediakan di Hospital Port Dickson namun didakwa selalu rosak.

Turut menjadi masalah katanya ialah kemudan mesin pengimbas, ubat-ubatan, bantal, selimut serta doktor dan jururawat.

Dalam pada itu, Vijayan juga berharap Anwar melawat sekolah-sekolah Tamil di kawasan berkenaan yang berdepan pelbagai kemudahan asas seperti jalan raya, bangunan bercat usang dan kualiti tandas rendah.

"Kami harap Anwar agar segera memberi perhatian khas kepada isu-isu yang dibangkitnya," katanya.

Lihat Komen
ADS