Paling Popular
Terkini

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak menggesa agar syarikat International Petroleum Investment Co (IPIC) turut disiasat berhubung dana kerajaan berjumlah AS$3.5 bilion yang hilang.

Gesaan itu dibuat ketika beliau sendiri dijangka berdepan pertuduhan urusan yang dibuat kerajaan ketika di bawah pentadbirannya dan firma pelaburan Abu Dhabi itu.

Bercakap di Dewan Rakyat hari ini, bekas perdana menteri itu berkata kerajaan ketika di bawah pentadbirannya menandatangani perjanjian dengan IPIC pada 2015, dengan Malaysia menerima AS$1 bilion daripada IPIC sementara firma berkenaan pula "bersetuju memulangkan AS$3.5 bilion."

AS$1 bilion tersebut adalah jaminan IPIC terhadap 1MDB yang mengalami kesukaran melangsaikan hutang pinjaman berjumlah AS97 juta dolar ketika itu.

Sementara jumlah AS$3.5 bilion pula merujuk pada dana 1MDB yang seharusnya dibayar IPIC. IPIC bagaimanapun menafikan menerima bayaran seumpamanya.

Sebaliknya, 1MDB dilaporkan menyalurkan bayaran kepada sebuah syarikat milik British Virgin Islands, yang mempunyai nama sama tetapi tidak ada sebarang kaitan dengan IPIC- iaitu Aabar Investments PJS Limited (Aabar BVI)- yang didakwa telah diseleweng oleh ahli perniagaan Jho Low.

Kata Najib, kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) harus melakukan usaha-usaha bagi membawa balik dana Malaysia yang hilang itu.

“Mereka (kerajaan) kena soal orang di sana (Abu Dhabi). Kalau mereka tipu dan mencuri duit kita, kita mesti tuntut semula tidak kiralah siapa pun mereka. Jangan lepaskan mereka, ini pendirian kita.

“Memang saya nak usahakan ini selepas PRU, sebab itu kita buat perjanjian. Dia wajib bayar pada kita. Kita ada tempoh sehingga tahun 2020.

“Jadi saya minta kerajaan bentang perjanjian penyelesaian kepada umum,biar orang tahu apa (berlaku) sebenarnya. Tak ada apa kita nak selindung,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Najib tidak menjelaskan dengan lebih terperinci bagaimana IPIC boleh menarik diri daripada perjanjiannya untuk menjamin 1MDB dan menuntut semula AS$1 bilion yang telah diberikan kepada 1MDB.

Beliau juga tidak menyatakan bahawa kerajaan di bawah pentadbirannya pada April 2017 bersetuju membayar balik AS$1 bilion kepada IPIC dengan faedah AS$200 juta, dan IPIC menuntut bayaran keseluruhan berjumlah AS$6.5 bilion.

Pertikaian berhubung AS$3.5 bilion itu masih tanpa penyelesaian.

Terdahulu, sumber Malaysiakini mengesahkan bahawa Najib akan didakwa minggu ini berhubung siasatan kes berkenaan.

Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan meneliti urusan penyelesaian hutang kerajaan terdahulu menggunakan duit cukai yang didakwa dilakukan tanpa kelulusan kabinet, selain pihak yang meluluskan bayaran berkenaan.

Sementara itu, Najib turut menggesa Putrajaya untuk mengekalkan aset-aset 1MDB, Tun Razak Exchange dan Bandar Malaysia, yang menurutnya dapat menjana banyak hasil.

Bekas presiden Umno itu turut menyuarakan kritikan ke atas tuduhan yang dikenakan ke atasnya kerana "menerima dan memulangkan" RM2 bilion.

“Bila saya dapat RM2 bilion saya didakwa, bila saya pulangkan RM2 bilion pun saya didakwa.

"Ini agak pelik, orang pulang duit pun kena dakwa,” katanya tentang 21 tuduhan pengubahan wang haram yang dikenakan terhadapnya bulan lepas.

Najib merujuk kepada tuduhan menerima RM2.08 juta atau AS$681 juta dolar daripada Tanore Finance Corporation pada 2013 atau yang lebih dikenali sebagai 'derma RM2.6 bilion’.

Satu lagi tuduhan adalah apabila Najib memulangkan RM2.03 bilion kepada Tanore pada Ogos 2013.

Menurut Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat, Tanore dimiliki oleh Eric Tan Kim Loong, rakan rapat kepada Jho Low yang turut menggunakan nama Tan sebagai nama samaran.

Najib bagaimanapun mendakwa Tanore dimiliki oleh kerabat diraja Saudi dan telah mengemukakan tiga surat yang didakwanya daripada "Saud Abdulaziz Al Saud".

Salah satu surat tersebut mengisytiharkan bahawa Tanore merupakan hak milik putera tersebut. 

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS