Pencapaian PMR 2005 lebih baik
Keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini menyaksikan pencapaian calon yang memperoleh semua A dalam mata pelajaran yang diambilnya sama ada sembilan, lapan atau tujuh meningkat berbanding tahun lepas.
Keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini menyaksikan pencapaian calon yang memperoleh semua A dalam mata pelajaran yang diambilnya sama ada sembilan, lapan atau tujuh meningkat berbanding tahun lepas.
Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Ahamad Sipon yang mengumumkan keputusan itu berkata seramai 20,101 (4.9 peratus) mendapat A berbanding 16,312 (4.2 peratus) pada tahun lepas.
Daripada jumlah itu, pecahan bilangan calon yang mendapat semua A mengikut bilangan mata pelajaran yang diambil ialah seramai 2,157 (9.1 peratus) memperoleh 9A pada tahun ini berbanding 1,781 (7.9) tahun lepas, 13,204 (4.0) mendapat 8A berbanding 10,738 (3.5) dan 4,740 (7.8) mendapat 7A berbanding 3,793 (6.7) tahun lepas," katanya pada akhbar di Putrajaya pagi tadi.
Beliau berkata prestasi mata pelajaran turut mencatatkan peningkatan apabila sebanyak 11 mata pelajaran mencapai tahap cemerlang berbanding tahun lepas.
Menurut laporan Bernama, antara mata pelajaran yang menunjukkan peningkatan tertinggi pada peringkat cemerlang ialah Sains (3.4 peratus), Kemahiran Hidup Bersepadu Kemahiran Teknikal (3.4), Kemahiran Hidup Bersepadu Pertanian (3.1), Bahasa Inggeris (2.3), Sejarah (1.9), Kemahiran Hidup Bersepadu Ekonomi Rumah Tangga (1.4), Matematik (1.2) dan Geografi (1.1), katanya.
Ahamad berkata calon PMR tahun ini merupakan kumpulan pertama yang mempelajari mata pelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Tiga.
Beliau berkata seramai 54 murid terpilih sebagai calon cemerlang PMR tahun ini termasuk empat orang calon istimewa.
Calon cemerlang
Katanya calon paling cemerlang di kalangan yang mengambil sembilan mata pelajaran ialah Rabiatul Adawiah Abdul Basir daripada SMKA Tok Jiring, Kuala Terengganu, Terengganu, calon paling cemerlang di kalangan calon yang mengambil lapan mata pelajaran ialah Mohd Akmal Mohd Syafiq Suresh, Sekolah Menengah Alam Shah, Putrajaya.
Calon paling cemerlang di kalangan calon yang mengambil tujuh mata pelajaran ialah Tay Su Ann dari SMK Infant Jesus Convent, Johor Bahru, Johor dan calon paling cemerlang di kalangan calon istimewa ialah Muhammad Zahari Bakar dari SMK Seri Bintang Selatan, Kuala Lumpur.
Tiga lagi calon cemerlang di kalangan murid istimewa ialah Siti Sakinah Syed Hamzah dari SMK Perempuan St George, Georgetown, Pulau Pinang, Ho Lee Ching (SMK Subang Jaya, Selangor dan Muhammad Salim Harmanain SAMT Tengku Ampuan Rahimah, Sungai Manggis, Banting, Selangor, katanya.
Ahamad berkata mereka akan diraikan oleh Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada satu majlis yang akan diadakan bulan depan.
Beliau berkata pada keseluruhannya pencapaian calon istimewa sangat memberangsangkan walaupun mereka mengalami pelbagai halangan.
Seramai 679 (96.9 peratus) daripada 701 calon istimewa yang menduduki PMR tahun ini telah mendapat sekurang-kurangnya satu mata pelajaran yang melepasi tahap penguasaan minimum (Gred D), katanya.
Daripada aspek mata pelajaran, beliau berkata pencapaian calon di peringkat cemerlang (Gred A) bagi semua mata pelajaran adalah melebihi 10 peratus dengan subjek Kemahiran Hidup Bersepadu Kemahiran Teknikal mengatasi mata pelajaran teras lain iaitu 30.6 peratus.
Pencapaian subjek
Sebanyak lima mata pelajaran memperoleh prestasi cemerlang melebihi 25 peratus, sembilan mata pelajaran melebihi 20 peratus dan hanya satu mata pelajaran iaitu Kemahiran Hidup Bersepadu Pertanian yang prestasi cemerlangnya kurang daripada 15 peratus iaitu 13.7 peratus, katanya.
Ahamad berkata terdapat 12 mata pelajaran yang prestasinya melepasi tahap penguasaan minimum (sekurang-kurangnya Gred D) melebihi 90 peratus.
"Ini termasuk Bahasa Melayu (92.3), Sejarah (96.1), Geografi (95.1), Pendidikan Islam (91.1), Sains (90.1) dan semua mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu (KHB) yang masing-masing KHB Kemahiran Teknikal (94.3), KHB Ekonomi Rumah Tangga (96.8), KHB Pertanian (92.7) dan KHB Perdagangan dan Keusahawan (94.6)," katanya.
Katanya Bahasa Inggeris merupakan mata pelajaran yang menunjukkan peningkatan prestasi tertinggi daripada segi pencapaian pada tahap penguasaan minimum iaitu 3.7 peratus berbanding tahun lepas.
Tiga mata pelajaran lain yang prestasinya meningkat melebihi satu peratus berbanding tahun lepas ialah Sains (1.6), Sejarah (1.4), Geografi (1.3) dan Matematik (0.4), katanya.
Beliau berkata keputusan PMR dikeluarkan di sekolah masing-masing hari ini mulai pukul 10 pagi tetapi bagi sekolah yang dilanda banjir, calon yang berkenaan boleh merujuk kepada Jabatan Pelajaran Negeri.

