Paling Popular
Terkini

Malaysia adalah pengantara yang ikhlas dalam peranannya sebagai fasilitator dalam proses rundingan damai di selatan Thailand, kata Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel menjelang lawatan dua hari Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke negara itu, esok.

Perdana Menteri dijadual tiba di Bangkok sebelum tengah hari esok untuk lawatan rasmi pertamanya ke Thailand semenjak menerajui negara pada Mei, dan isu rundingan damai di selatan Thailand dijangka menjadi agenda utama semasa perbincangan dengan rakan sejawatnya, Jen Prayut Chan-o-cha.

“Kami (Malaysia) adalah pengantara yang jujur dan Malaysia ikhlas dalam usahanya sebagai fasilitator dalam rundingan damai di selatan Thailand,” kata duta itu kepada media Malaysia yang membuat liputan lawatan perdana menteri ke Thailand di Bangkok, hari ini.

Beliau berkata Malaysia yang berkongsi sempadan utara dengan wilayah di selatan Thailand amat berharap untuk melihat keamanan dan kemakmuran di rantau ini, yang secara tidak langsung membawa kesan positif kepada Malaysia.

Menurut beliau Dr Mahathir dan rakan sejawatnya dijangka membincangkan proses rundingan damai di selatan Thailand ketika mereka bertemu esok.

Malaysia telah membantu beberapa rundingan antara delegasi kerajaan Thailand dan Mara Patani, yang mewakili kumpulan di selatan Thailand.

Zon keselamatan di selatan

Lawatan Dr Mahathir ke Thailand esok, bagi pemerhati dan media di negara itu dijangka dapat memberi impak untuk proses rundingan damai itu, yang saat ini masih lagi buntu, terutama mengenai pelaksanaan Zon Keselamatan (SZ) di wilayah tersebut.

Media Thailand menjangkakan perdana menteri Malaysia yang turut membawa fasilitator baharu proses damai itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor, akan mengusulkan langkah-langkah baharu untuk menghidupkan semula proses damai yang masih dalam keadaan buntu.

Abdul Rahim merupakan bekas Ketua Polis Negara.

Duta Besar itu berkata proses damai selatan Thailand itu adalah satu isu yang kompleks untuk diselesaikan kerana melibatkan banyak pihak berkepentingan.

Menurut Jojie, jika keamanan dapat diwujudkan di selatan Thailand, ia akan memberikan keyakinan kepada pelabur untuk membangunkan perniagaan mereka di sini, yang akhirnya akan meningkatkan perdagangan keseluruhan antara Thailand dan Malaysia.

- Bernama

Lihat Komen
ADS