Kontraktor dakwa ada orang tidak dikenali tinggal di kawasan tapak pembinaan
Kontraktor utama projek Jalan Bukit Kukus, Yuta Maju Sdn Bhd mendakwa ada beberapa orang yang tidak dikenali tinggal di kawasan tapak pembinaan di Paya Terubong, di tempat kejadian tanah runtuh berlaku pada hari Jumaat lepas.
Yuta Maju berkata ketika ini sembilan mayat ditemui dan dibawa keluar daripada lokasi tanah runtuh, manakala tiga berjaya diselamatkan.
Menurutnya kabin yang terlibat dalam kejadian itu merupakan bekas kuarters pekerja projek berkenaan yang dikosong dan ditinggalkan beberapa minggu sebelum kejadian.
"Bekalan elektrik di kabin itu diputuskan pada 2 Okt bagi memastikan kabin itu tidak lagi diduduki. Mayat yang ditemui, termasuk yang diselamatkan, adalah orang yang tidak dikenali yang bukan pekerja Yuta Maju Sdn Bhd,” menurutnya dalam satu kenyataan semalam.
Syarikat itu menegaskan bahawa kehadiran orang asing yang tidak dikenali di kabin yang ditinggalkan, samasekali tidak diketahui oleh pihaknya.
Bagaimanapun menurutnya syarikat itu tetap bekerjasama dengan pihak ketiga bagi memastikan mayat yang ditemui dapat dihantar balik ke negara asal dengan sempurna, dan pihak konsulat negara masing-masing sedar mengenai usaha ini dan turut membantu membawa mayat itu pulang.
“Selain membekalkan keperluan jentera dan peralatan yang diperlukan untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR), Yuta Maju turut menghulur bantuan dalam bentuk tunai di samping turut menyumbang kepada keperluan makanan serta minuman pekerja SAR yang terlibat,” katanya.
Menurutnya Yuta Maju menghulurkan bantuan itu atas dasar kemanusiaan dan akan terus menghulur bantuan sedaya yang termampu,
Tragedi tanah runtuh pada pukul 1.56 petang Jumaat lepas sehingga kini meragut sembilan nyawa, tiga berjaya diselamatkan.
Ia berlaku susulan hujan lebat di Pulai Pinang sejak petang Khamis, yang mengakibatkan tanah dari kawasan berbukit di Paya Terubong runtuh dan menimbus beberapa kontena dan kuarters pekerja di kawasan tapak pembinaan berkenaan.
- Bernama

