Rafidah bukan wanita besi, kata Umno Seputeh
Seorang pemimpin Umno peringkat bahagian mendakwa Tan Sri Rafidah Aziz mempergunakan elemen bangsa semasa menjadi menteri dan bertindak merugikan Melayu selepas bersara.
Naib Ketua Umno Cheras Datuk Mohd Razlan Rafii berkata tidak seperti tanggapan sesetengah orang yang menggelar Rafidah sebagai "wanita besi" bekas menteri kanan itu, katanya, menghapuskan kepentingan Melayu.
"Inilah manusia yang gagal dalam mendidik bangsa dan senantiasa mempergunakan bangsa sekian lama.
"Malulah (kepada) siapa yang mengaku dia ni wanita besi, walhal besi pada penghapuskan bangsa sendiri," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Mohd Razlan yang memang terkenal dengan kenyataan kontroversi itu mengulas pandangan Rafidah yang dibuat melalui kolumnya semalam.
Menurut Rafidah rakyat negara ini wajar menghentikan laungan ketuanan bangsa yang dianggapnya merugikan dan tidak produktif kepada semua pihak.
Beliau yang pernah menjadi menteri perdagangan antarabangsa dan industri berpendapat Malaysia mestilah sentiasa menjadi milik rakyat negara ini tanpa mengira mana-mana kumpulan, kaum atau agama.
Melalui tulisan sulung untuk kolumnya di akhbar The Sun Rafidah berkata rakyat Malaysia hanya akan dihormati di peringkat global apabila menunjukkan kemahiran dan prestasi yang dinilai pada piawaian antarabangsa.
Mohd Razlan berkata sejak sekian lama Rafidah gagal membangunkan ekonomi orang Melayu semasa menjadi menteri.
Katanya kenyataan Rafidah semalam membuktikan bekas ketua Wanita Umno itu mementingkan nafsu dan berpura-pura memperjuangkan kepentingan Melayu.
"Nampak sangat semasa menjadi menteri dahulu beliau memang mementingkan nafsu dengan berlakon sebagai orang Melayu dan mempergunakan Dasae Ekonomi Baru pada ketika itu bagi kepentingan dan tembolok sendiri," katanya.

