Tiada lagi menteri yang diberi tanggungjawab menjaga hal ehwal parlimen selepas Akta Perkhidmatan Parlimen kembali berkuat kuasa, kata Timbalan Speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming.

Katanya kerajaan dan pembangkang juga bersetuju untuk meningkatkan status Akta Perkhidmatan Parlimen kepada Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen.

"Kali kita mempunyai akta ini (dan dengan itu) parlimen akan mempunyai kewangan sendiri, tidak akan ada menteri yang bertanggungjawab atas urusan parlimen.

"Speaker akan menjadi ketua dewan, yang akan mempengerusikan dewan," kata Nga kepada pemberita di parlimen hari ini.

Untuk rekod sebelum ini kerajaan melantik seorang anggota Dewan Rakyat atau Dewan Negara sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) khusus mengelolakan urusan parlimen.

Menteri terakhir yang diberi tanggungjawab itu ialah Datuk Seri Azalina Othman Said.

Sebelum pilihan raya umum ke-14 BN melantik 11 anggota parlimen menjadi menteri di JPM.

Bagaimanapun selepas 9 Mei - apabila Pakatan Harapan menjadi kerajaan - hanya tiga menteri dan tiga timbalan menteri dilantik di JPM.

Kata Nga dengan adanya akta tersebut, parlimen juga tidak akan lagi diletakkan di bawah JPM.

"Dari segi autonomi kewangan, ia tidak lagi menjadi berada di bawah JPM,” katanya.