Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Najib mengadap PAC isu bayaran balik GST 'hilang'

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) tidak menolak kemungkinan untuk memanggil Datuk Seri Najib Razak bagi memberi keterangan berhubung tunggakan tuntutan bayaran cukai barangan dan perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 bilion yang didakwa hilang.

Pengerusi PAC Datuk Seri Ronald Kiandee berkata Najib hari ini memberi keterangan kira-kira satu jam berkaitan aliran wang kerajaan daripada GST dan pulangan cukai tersebut.

“Pada hari ini, kita tak boleh katakan (beri kata putus) dan rujuk kalau keperluan (untuk panggil Najib).

"Kita telah buat penilaian semula terhadap KP Kastam (Subromaniam Tholasy) dan juga mantan KP (ketua pengarah).

"Jadi kita ikut keperluan (untuk panggil semula Najib) jika ada keperluan kita mungkin akan panggil semula," katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat PAC.

Menurut Ronald lagi, Najib yang juga bekas perdana menteri dan bekas menteri kewangan itu memberi kerjasama baik sepanjang prosiding tadi.

Ditanya mengenai prosiding seterusnya, Ronald berkata, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng akan menjadi individu terakhir dipanggil dan dijangka dilaksanakan selepas pembentangan Bajet 2019.

Kelmarin, bekas ketua setiausaha perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah hadir dalam prosiding berkenaan untuk sesi menyoal kali kedua.

Siasatan PAC sebelum ini turut membabitkan bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan bekas timbalan menteri kewangan, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Sementara itu, Ronald berkata, usaha untuk membuka prosiding kepada umum bakal membabitkan pindaan kepada beberapa Peraturan Mesyuarat serta Akta Majlis Parlimen ( Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

Katanya, buat masa sekarang beliau tidak boleh mendedahkan butiran prosiding kepada awam.

“Kami boleh dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen jika berbuat demikian.

“Seperti dikatakan semalam kita tengah berjuang untuk membolehkan maklumat PAC ini diakses awam tapi ia melibatkan pindaan kepada beberapa mesyuarat dan akta parlimen,” katanya.

Lihat Komen
ADS