Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Jangan salahkan HARAPAN bayaran balik PTPTN menurun'

DEWAN RAKYAT | Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching hri ini berkata antara punca penurunan kutipan bayaran PTPTN bagi tahun ini adalah lanjutan tempoh penangguhan yang diberikan kerajaan terdahulu.

Kerajaan BN sebelum ini melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik dari enam bulan kepada setahun.

Justeru kata Teo penurunan kutipan bukan hanya berpunca daripada pengeluaran nama peminjam yang gagal membuat bayaran daripada senarai hitam imigresen, seperti yang didakwa Khairy Jamaluddin (BN-Rembau).

"Saya tak nafikan kutipan menurun selepas pengeluaran nama daripada senarai hitam imigresen tetapi ia bukan satu-satunya punca.

"Pada 2017, ketika membentangkan Bajet 2018, Najib membuat pengumuman untuk melanjutkan tempoh penangguhan bagi pemohon PTPTN membayar hutang mereka," katanya di Dewan Rakyat hari ini ketika menjawab soalan Khairy.

Khairy bertanyakan jumlah bayaran semula yang dikutip PTPTN selepas nama mereka yang ingkar dibuang daripada senarai hitam imigresen.

Teo berkata jumlah yang dikumpul antara Jun dan September adalah RM817.65 juta berbanding RM1.324 bilion yang dikumpul untuk tempoh sama tahun lalu.

"Terima kasih kerana mengesahkan selepas mereka dibuang daripada senarai hitam, bayaran semula PTPTN telah menurun sebanyak RM500 juta.

"Sebab itulah kita letakkan mereka dalam senarai hitam," kata Khairy.

Belum dikuatkuasakan

Namun Teo berkata pengurangan itu telah bermula sejak Januari tahun ini.

Misalnya, katanya, kutipan PTPTN pada bulan itu adalah RM297 juta berbanding RM351 juta untuk bulan sama tahun lalu.

Kutipan pada Mac tahun ini pula adalah RM293 juta berbanding RM384 juta pada bulan sama tahun lalu, katanya lagi.

"Kita tak boleh salahkan Pakatan Harapan (HARAPAN) dan tindakan membuang nama daripda senarai hitam sebagai punca penurunan bayaran semula.

"Jika anda ingin berkata begitu, maka lanjutan tempoh penangguhan juga salah," katanya lagi.

Dalam manifesto PRU ke-14, HARAPAN menjanjikan untuk menangguhkan bayaran semula pinjaman PTPTN bagi mereka yang berpendapatan bawah RM4,000 sebulan.

Namun ia belum dikuatkuasakan kerana kerajaan masih mengkaji mekanisme yang sesuai untuk melaksanakannya.

Lihat Komen
ADS