Seorang warga emas didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret di Petaling Jaya hari ini bagi kesalahan memandu sebuah bas persiaran dengan tidak cermat sehingga merempuh lima kenderaan dan menyebabkan seorang maut, tiga tahun lepas.
Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir menjatuhkan hukuman terhadap Mat Isa Abdullah, 60, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan memerintahkan dia dipenjara tujuh bulan jika gagal membayar denda itu.
Tertuduh yang kini tidak bekerja membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan pilihan, Mat Isa telah memandu sebuah bas persiaran dengan tidak cermat dan perhatian sepatutnya di Lebuh Raya Utara-Selatan, pada 4.30 petang, 16 Julai 2015.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan boleh dihukum di bawah peruntukan sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM10,000 dan boleh dipenjara maksimum 12 bulan.
Dalam prosiding itu, Mat Isa merayu kepada mahkamah supaya tidak dikenakan hukuman penjara kerana usianya yang sudah tua, namun Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran kerana kemalangan itu sangat serius selain melibatkan kehilangan nyawa dan banyak kenderaan.
Berdasarkan fakta kes, siasatan mendapati bas yang dipandu tertuduh telah melanggar belakang sebuah lori sebelum hilang kawalan lalu terbabas sehingga merempuh pembahagi jalan dan memasuki laluan bertentangan.
Ekoran kejadian itu, bas tersebut melanggar tempat lagi kenderaan jenis Toyota Vios, Toyota Estima, Perodua Kancil dan Proton Iswara.
Pelanggaran itu menyebabkan seorang penumpang lelaki yang menaiki Toyota Estima meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur.
- Bernama
