Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berkata peningkatan kedudukan universiti tempatan adalah kerana kerajaan BN dahulu.

Beliau pada masa sama menyindir Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berhubung episod "kasut dan stokin hitam" sebelum ini.

"Di sebalik tohmahan bahawa kerajaan BN mengabaikan mutu pendidikan, realitinya ialah sejak beberapa tahun kebelakangan ini kita dapat lihat secara amnya setiap universiti di negara ini berterusan memperbaiki tempat mereka setiap tahun.

"Ini membuktikan dasar pendidikan bukan bermula dengan kasut dan stokin hitam. Semoga trend ini akan berterusan dan diberi perhatian oleh kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN)," katanya di Facebook, hari ini.

Beliau juga berkata Universiti Malaya telah mendapat penarafan 20 universiti terbaik di Malaysia - iaitu di kedudukan ke-19 bersama-sama Universiti Jiao Tong Shanghai.

"Jiao Tong ditubuhkan pada tahun 1896 dan pernah mendapat gelaran 'Institut Teknologi Massachusetts di Timur'.

"Saya amat bangga sekali bahawa UM kini di tempat yang sama dan jika mengikut trend, tidak mustahil untuk ia mendahului kedudukan Jiao Tong," katanya lagi.

Terdahulu, laman Star Online melaporkan kesemua lima universiti penyelidikan di Malaysia berada dalam kedudukan 50 terbaik bagi Penarafan Universiti QS di Asia untuk tahun 2019.

Universiti Putra Malaysia (UPM) di tangga ke-34, Universiti Kebangsaan Malaysia (41), Universiti Sains Malaysia (43) dan Universiti Teknologi Malaysia (47).