Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saifuddin: Kejanggalan ahli PKR Sarawak bidang kuasa Xavier

PEMILIHAN PKR | Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menerima teguran yang dibuat PKR Sarawak bahawa beliau telah mengabaikan tugasnya dalam mengendalikan aduan mengenai kejanggalan keahlian di cabang Julau yang menyaksikan peningkatan anggota secara mendadak.

Bagaimanapun, Saifuddin menegaskan aduan pertambahan mendadak ahli PKR itu bukan di bawah bidang kuasanya.

Sebaliknya, Saifuddin berkata hal tersebut telah dipertanggungjawabkan kepada penyandang jawatan naib presiden parti Dr Xavier Jayakumar.

“Saya tak kecil hati dengan (teguran) PKR Sarawak, mungkin mereka tidak dapat maklumat (yang tepat) mengenainya tetapi saya OK saja.

“Untuk makluman PKR Sarawak soal PKR Sarawak mengatakan dia telah menulis kepada saya betullah, semua sampai ke pejabat dan ia ditugaskan kepada Dr Xavier (penyandang naib presiden PKR) untuk bertindak dan ia bukan di bawah saya.

“Dan proses itu juga telah berjalan dan segala bantahan telah disemak oleh jawatankuasa yang terlibat dan saya tak terlibat dengan jawatankuasa itu,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perjumpaan bersama-sama NGO) Kepenggunaan Tahun 2018, di Putrajaya, hari ini.

Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengulas teguran PKR Sarawak terhadapnya yang didakwa mengabaikan tugasnya.

1,000 ahli baru nafi sertai PKR

Setiausaha PKR Sarawak, Nicholas Bawin semalam mendakwa Saifuddin gagal bertindak terhadap dakwaan kejanggalan keanggotaan dalam PKR Cabang Julau yang dibuat dalam tempoh bantahan yang ditetapkan.

Selain peningkatan anggota, terdapat dakwaan pihak yang didaftar menjadi ahli tanpa pengetahuan dan persetujuan mereka, katanya.

"Ini adalah tuduhan yang serius yang mana seorang setiausaha agung mana-mana parti politik tidak boleh mengabaikannya. Setiausaha agung mesti bertindak...

"Ini merupakan pengabaian tugas oleh setiausaha agung secara terang-terangan kerana tidak bertindak atas tuduhan serius yang dibawa secara rasmi oleh majlis pimpinan negeri (MPN) Sarawak," katanya.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan PKR Sarawak menemukan lebih 1,000 anggota baru parti itu telah menafikan mereka pernah bersetuju atau memohon untuk menyertai PKR.

Selain itu, lebih 1,000 anggota tidak mempunyai nombor keanggotaan parti, manakala sejumlah nombor didapati muncul lebih sekali dalam senarai keanggotaan.

Dakwaan pencurian data, penipuan

Bawin memberi amaran bahawa cara pendaftaran sedemikian boleh menjadi pelanggaran terhadap Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 jika didapati berlaku pencurian data dan penipuan.

"Kita patut sedar akan jenayah kesalahan yang didakwa dan janji parti kami untuk peraturan undang-undang yang terpakai kepada semua, termasuk parti kami.

"Dalam keadaan ini, apa-apa aduan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) atau cabaran terhadap penyelewengan dan penyalahgunaan undang-undang di mahkamah mungkin khususnya akan menjejaskan parti dan parti pemerintah pentadbiran Pakatan Harapan secara amnya.

"Oleh itu, kami perlu mengesyorkan kepada Majlis Pimpinan Pusat dan Biro Politik parti untuk berhati-hati dalam perbincangan mereka untuk menyelesaikan dakwaan kejanggalan yang berleluasa dan penyalahgunaan undang-undang," katanya. 


Lihat Komen
ADS