Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tragedi bomba maut: JK siasatan mesyuarat minggu depan

Berikutan pengumuman tentang penubuhan satu jawatankuasa oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi menyiasat tragedi yang mengorbankan nyawa enam anggota bomba, Menteri KPKT Zuraida Kamaruddin berkata mesyuarat pertamanya akan dilakukan pada minggu hadapan.

“Kita telah membentuk satu jawatankuasa bebas yang dianggotai oleh ahli profesional, ahli akademik dan badan bukan kerajaan (NGO) dan satu laporan akan dihasilkan daripada hasil penyiasatan,” katanya.

Laporan tersebut akan digunakan bagi menilai keperluan penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) operasi menyelamat melibatkan air deras dan waktu malam.

Zuraida berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penghargaan Wira Merah yang diadakan di ibu pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Putrajaya, hari ini.

Majlis itu diadakan bagi menyampaikan bantuan kepada ahli keluarga mangsa selain pingat jasa bomba, surat penghargaan KPKT dan tanda pangkat untuk kenaikan pangkat secara posthumous kepada semua yang terkorban.

Turut hadir di majlis itu, Ketua Pengarah JBPM, Mohamad Hamdan Wahid.

Caruman skim insurans

Zuraida tidak ketinggalan menggalakkan semua anggota bomba bagi mencarum skim insurans demi kebajikan mereka.

“Untuk sumbangan hari ini, waris menerima bantuan daripada RM164,000 kepada RM289,000 tertakluk kepada skim insurans yang dicarum mangsa.

“Dari insiden ini juga, saya hendak galakkan anggota bomba mencarum skim insurans yang ada ditawarkan oleh jabatan masing-masing,” tambahnya.

Tragedi pada 3 Oktober lalu menyaksikan enam anggota bomba lemas ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja lelaki yang hilang di Taman Putra Perdana, Puchong, baru sahaja bermula.

Dalam kejadian yang berlaku pada kira-kira jam 9.15 malam itu, kesemua anggota bomba terbabit didapati telah menepati SOP yang tepat mengikut tatacara penyelamatan dalam air sedia ada, seperti yang dilaporkan Berita Harian.

Keenam-enam yang terkorban terdiri daripada empat anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang iaitu Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24, sementara dua lagi mangsa dari BBP Shah Alam dikenali sebagai Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS