Walaupun belum dapat melaksanakan subsidi petroleum bersasar buat isi rumah berpendapatan rendah (B40), kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) tetap berusaha untuk menunaikannya seperti yang termaktub dalam manifesto PRU ke-14, kata Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu berkata, kerajaan masih dalam proses mencari kaedah pelaksanaan yang lebih berkesan dan pada masa sama tidak memberi implikasi kewangan kepada negara.

"Impian HARAPAN dalam manifesto kami untuk laksanakan subsidi bersasar petrol. Sebulan rakyat Malaysia (menggunakan) lebih kurang 1.2 bilion liter dan hanya 10 peratus yang menggunakan RON97.

"Menjadi hasrat kami untuk melaksanakan subsidi bersasar, jika bawa (kereta mewah) Mercedes tidak lagi merasa harga RM2.20 seliter, kita akan bagi kepada golongan B40," katanya ketika berucap dalam Majlis Perjumpaan bersama-sama NGO Kepenggunaan 2018 di Putrajaya, hari ini.

Saifuddin yang juga setiausaha agung PKR berkata, perbincangan mengenai masih di peringkat awal dan kaedah pelaksanaan juga masih belum diputuskan.

"Kita nak bawa keluar idea (subsidi bersasar) kepada perbincangan saya dengan (Menteri Kewangan) Lim Guan Eng, kami seterusnya akan berbincang dengan pegawai kami dan melihat beberapa aspek penting.

"Selepas itu diharapkan kami boleh merangka mekanisme pelaksanaannya," katanya yang menegaskan kepentingan perbincangan dengan pengusaha stesen minyak.

Katanya lagi, antara kriteria kelayakan yang mungkin dikenakan adalah tahap pendapatan dan jenis kenderaan jika isi rumah itu mempunyai lebih daripada sebuah kereta.