JPP PKR jelaskan surat amaran pada menteri, MP
PEMILIHAN PKR | Jawatankuasa pemilihan parti itu hari ini menjelaskan makluman yang terbit di laman JPP semalam mengenai aduan dan bentuk tindakan disiplin berkaitan pemilihan parti itu.
Hal ini termasuklah surat amaran Jawatankuasa Pemilihan PKR (JPP) kepada Dr Xavier Jayakumar serta dua anggota parlimennya, Akmal Mohd Nasir dan June Leow Hsiad Hui yang menjadi calon dalam perebutan jawatan kali ini.
"Banyak pihak telah menghubungi JPP berkaitan dengan kenyataan Jawatankuasa bantahan, aduan, rayuan dan disiplin pemilihan parti 2018, yang telah dinaikkan dalam portal JPP semalam.
"Adalah dimaklumkan bahawa, perkara ini adalah proses biasa yang dilaksanakan sejak dari awal proses pemilihan parti 2018 bermula.
"...untuk memastikan proses perjalanan pemilihan parti berjalan mengikut Tatacara Peraturan dan Tataetika yang telah ditetapkan oleh Majlis Pempinan Pusat (MPP) parti," kata Pengerusi JPP Datuk Rashid Din.
Rashid berkata demikian dalam suatu kenyataan bersama Pengerusi Pengerusi Jawatankuasa Bantahan, Aduan, Rayuan, dan Disiplin Pemilihan 2018, Dr Syed Husin Ali.
"Jawatankuasa ini bersidang untuk meneliti bantahan, aduan atau rayuan yang diterima dari masa ke semasa.
"Biasanya, keputusan-keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa ini, hanyalah melibatkan sama ada menerima atau menolak bantahan, aduan dan rayuan, atau mengeluarkan peringatan dan amaran," kata kenyataan itu.
Bagaimanapun, kenyataan bersama itu mengatakan kuasa mengenakan tindakan disiplin hanya ada pada Jawatankuasa Disiplin Parti.
"Jawatankuasa hanya akan memanggil mereka yang berkenaan sekiranya kes-kes aduan berkaitan dengan hal disiplin. Jika mempunyai bukti yang kukuh berkaitan dengan disiplin, kes-kes ini akan dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin PKR.
"Ini adalah kerana kuasa untuk tindakan disiplin hanya ada pada Jawatankuasa Disiplin Parti," jelas kenyataan itu lagi.
Xavier kata tak terima surat amaran
Xavier dalam suatu kenyataan malam ini menafikan menerima surat amaran sebagaimana yang dimaklumkan portal JPP semalam dan mendakwa ia usaha memburukkan reputasinya.
"Saya percaya tindakan ini dilakukan untuk memburukkan nama saya ketika suasana pemilihan parti berada dalam keadaan yang getir.
"Lebih-lebih lagi dengan kedudukan terkini saya yang agak positif ke arah pemilihan untuk jawatan naib presiden," katanya.
Beliau juga berkata telah menghubungi pengerusi jawatankuasa disiplin pemilihan PKR, Dr Syed Husin Ali dan dimaklumkan tiada surat amaran yang telah dikeluarkan.
"Untuk makluman semua, saya telah menghubungi pengerusi jawatankuasa ini, yang dipengerusikan oleh Syed Husin Ali pada pukul 4.15 petang (24 Oktober 2018) untuk mendapatkan penerangan lanjut tentang perkara ini.
"Beliau telah memaklumkan dan menjelaskan kepada saya bahawa sehingga kini tiada surat amaran yang dikemukakan kepadanya untuk ditandatangani atau dikeluarkan oleh jawatankuasa tersebut," kata Xavier yang juga MP Kuala Langat.


