Dana berjumlah AS$12 juta yang dikaitkan dengan bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Ab Hamid langsung tidak berkaitan dengan 1MDB, kata Datuk Shaharudin Ali.

Menurut peguam bela Hasanah itu ramai orang terkeliru dengan perbicaraan tersebut dengan menganggap ia melibatkan wang firma pelaburan milik penuh kerajaan, 1MDB.

“Ia langsung tiada kaitan dengan 1MDB, hutang-hutang 1MDB, atau anak-anak syarikat 1MDB,” katanya kepada pemberita di depan bangunan mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Hasanah hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan pecah amanah melibatkan wang bernilai AS$12.1 juta (RM50.5 juta).

Bekas pegawai kanan yang berkhidmat dengan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri itu didakwa melakukan kesalahan tersebut antara 30 Apr dan 9 Mei 2018.

Berdasarkan kertas pertuduhan Hasanah - sebagai penjawat awam - diamanahkan penguasaan harta berbentuk wang bernilai AS$12.1 juta milik kerajaan Malaysia namun melakukan pecah amanah.

Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang menyediakan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, dan boleh didenda juga.

Nak tahu isu CIA

Kata Shaharudin kedudukan wang AS$12.1 juta itu - sama ada milik kerajaan Malaysia atau pihak luar - akan ditentukan di mahkamah semasa perbicaraan nanti.

Mengulas lanjut, Shaharudin memberitahu urusan wang yang berkaitan dengan operasi risikan tidak sepatutnya didedahkan kepada umum sewenang-wenangnya.

“Pada saya ia satu rahsia besar.

"Saya dah beritahu beberapa bulan lalu, wang yang berkaitan operasi risikan tidak boleh dibuat main (dipandang mudah).

“Ia tak boleh didedahkan sewenang-wenangnya,” katanya.

Hasanah

Disoal tentang surat Hasanah kepada Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat, Shahrudin memberitahu ia tidak kena-mengena dengan prosiding hari ini.

Pada masa sama, katanya, dia sendiri ingin tahu berkenaan isu itu.

“Saya nak tahu, adakah pengarah risikan CIA berbual dengan pihak polis di sini dan mengatakan: ya, kami memang dapat surat ini daripada Hasanah,” tambahnya lagi.

Hasanah sebelum ini mendakwa surat yang dihantar sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14 itu adalah perkara rutin dan hanya melibatkan hal operasi.

Hasanah mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas dakwaan pecah amanah tersebut.

Hakim menetapkan ikat jamin RM500,000 dengan dua penjamin, selain Hasanah dikehendaki menyerahkan pasportnya.

Shaharudin menjangkakan anak guamnya akan dapat melangsaikan wang jaminan pada penghujung hari ini.

Sementara itu, Shaharudin turut memaklumkan bahawa urusan untuk memindahkan perbicaraan dari mahkamah sesyen ke mahkamah tinggi masih dalam pertimbangan.

"Tapi Sri Ram (ketua pihak pendakwaan Datuk Seri Gopal Sri Ram) tiada bantahan untuk pindahkan kes ke mahkmaah tinggi," katanya.

Kes tersebut akan disebut semula di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 29 Nov ini.