Keputusan KPM batal langganan Utusan kekal
Keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) membatalkan langganan Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia di semua bahagian, agensi, sekolah, universiti, kolej dan institusi bawahnya kekal.
“Berita dari surat khabar ini boleh dicapai dari atas talian, juga boleh diperoleh daripada media sosial.
“Hasrat KPM untuk langgan akhbar-akhbar yang menguar-uarkan nilai murni, memupuk perpaduan dan bukan sebaliknya,” kata Timbalan Menteri Teo Nie Ching di parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian ketiak menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (BN-Hulu Terengganu) yang mahu tahu sama ada keputusan itu akan ditarik balik
Saranan itu dibuat memandangkan Utusan kini berwajah baru dengan saiz tabloid yang menurutnya lebih mesra pembaca.
Bagaimanapun, kata Teo, pertukaran saiz akhbar tidak semestinya menunjukkan sesuatu perubahan pemikiran.
“Semacam kita tukar (tempat) duduk tak bermaksud ahli yang berhormat yang di sana sekarang tidak ada pemikiran unsur perkauman.
“Saya ingin memetik apa yang dinyatakan oleh bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Tan Sri Zainuddin Maidin yang juga menyambut baik langkah kementerian untuk membatalkan langganan akhbar itu.
"Beliau menyatakan Utusan Malaysia bukan suara rakyat tetapi lidah rasmi Umno yang bersifat perkauman.
“Jadi, saya rasa petikan daripada bekas Ketua Pengarang ini mencukupi,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Rosol sama ada Kementerian Pendidikan akan membenarkan ahli Parlimen untuk menaja atau memberi akhbar tersebut kepada sekolah, Nie Ching berkata, pihaknya mengalakkan akhbar yang menguar-uarkan nilai murni sahaja.
“Jadi, apabila Utusan Malaysia mampu mencapai matlamat ini, kita akan mempertimbangkan permintaan tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, menjawab soalan Cha Kee Chin (HARAPAN-Rasah) yang bertanya sama ada pembatalan sedemikian turut dikenakan terhadap akhbar lain terutamanya The Star yang dimiliki oleh MCA, Nie Ching berkata, setakat ini tiada keputusan terhadap langganan surat khabar yang lain.
“Apa yang boleh saya janjikan adalah Pakatan Harapan tidak akan mewajibkan sekolah untuk membeli surat khabar yang dikeluarkan oleh parti politik,” katanya.

