Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jabatan Imigresen terima 27,127 permohonan permit masuk
Diterbitkan:  Oct 25, 2018 2:24 PM
Dikemaskini: 6:24 AM

PARLIMEN l Sebanyak 27,127 permohonan permit masuk yang diterima Jabatan Imigresen direkodkan sehingga 5 Okt lalu dan daripada jumlah itu, sebanyak 10,145 permohonan sedang diproses, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman berkata Selangor mencatatkan jumlah permohonan tertinggi iaitu 2,527 diikuti Johor (1,757), Kuala Lumpur (1,568) dan Perak (1,247).

Pahang pula merekodkan sebanyak 568 permohonan, Kelantan (497), Kedah (478), Pulau Pinang (401), Negeri Sembilan (360), Terengganu (341), Labuan (107), Melaka (95), Perlis (65), Putrajaya (55), Sarawak (52) dan Sabah (27).

"Berdasarkan permit masuk sedia ada, warga asing yang telah menetap di Malaysia untuk tempoh melebihi lima tahun secara berterusan di atas pas jangka panjang adalah layak untuk memohon permit masuk. Kelulusan permit masuk tersebut melayakkan seseorang itu mendapatkan taraf sebagai pemastautin tetap," katanya pada sesi soal jawab lisan.

Beliau menjawab soalan Chan Ming Kai (PH-Alor Setar) mengenai jumlah kes permohonan permit masuk di setiap negeri yang masih dalam proses mengikut tahun permohonan dibuat.

Mohd Azis berkata permit masuk merupakan satu permit yang dikeluarkan Jabatan Imigresen di bawah Seksyen 10 Akta Imigresen 1959/63 bagi membolehkan seseorang warga asing untuk tinggal di Malaysia selepas tamat satu tempoh pas yang dipegang sebelum ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS