Kerajaan telah menganugerahkan kewarganegaraan kepada 1,713,198 individu yang layak mulai tahun 1957 hingga 30 Mei lepas (2018), kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Beliau berkata kerajaan juga masih dalam proses meneliti lebih 55,000 rayuan dan permohonan daripada individu yang ingin mendapatkan sijil kewarganegaraan membabitkan pelbagai peringkat rayuan dan kes.

"JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) terima banyak rayuan daripada pelbagai peringkat permohonan termasuk sijil kewarganegaraan, kad merah dan kategori taraf warganegara bagi anak-anak, dan kesemua permohonan itu dalam proses penilaian yang dilakukan sepanjang masa,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas menyerahkan 200 surat kelulusan warganegara Malaysia di Putrajaya hari ini, Muhyiddin berkata kelulusan permohonan diberikan kepada mereka yang layak serta diberi pertimbangan atas dasar mereka lebih lama berada di negara ini selain berkelakuan baik dan menguasai Bahasa Melayu dengan baik.

"Jumlah permohonan agak ramai namun, jika layak dan mematuhi syarat ditetapkan maka mereka akan diberi kelulusan. Kerajaan tidak mengamalkan sikap pilih kasih. Sesiapa berhak dalam perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, maka mereka layak untuk mendapat.

"Jadi, tidak harus ada pihak yang sengaja membuat tohmahan bahawa kerajaan tidak membuat pertimbangan secara adilnya," katanya.

Muhyiddin menegaskan taraf kewarganegaraan Malaysia merupakan anugerah tertinggi negara dan hak eksklusif kerajaan Persekutuan yang hanya ditawarkan kepada individu yang benar-benar berhak dan layak.

"Tahun ini sahaja kami luluskan 1,641 permohonan bagi sijil kewarganegaraan. Secara keseluruhan, JPN menerima sejumlah 3,853 permohonan daripada individu berketurunan India berusia 60 tahun ke atas.

"Daripada jumlah itu, seramai 1,641 individu menepati semua syarat ditetapkan dan permohonan kerakyatan mereka diluluskan," katanya.

- Bernama