Separuh masa kedua, kem Azmin kuasai 15 dari 20 jawatan MPP
PEMILIHAN PKR | Masuk separuh masa kedua pemilihan PKR, kem calon timbalan presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilihat mendominasi saingan majlis pimpinan pusat (MPP).
Berdasarkan pengiraan Malaysiakini, dengan kurang daripada separuh lagi anggota PKR belum mengundi, kem Azmin mengusai 15 daripada 20 jawatan pimpinan pusat.
Atas permintaan pembaca, Malaysiakini telah mengemaskini laman khas keputusan semasa pemilihan PKR dengan fungsi baru untuk mengenal pasti saingan bagi jawatan MPP.
Lima calon lain bagi jawatan itu adalah dari kem Rafizi Ramli, yang juga merupakan pencabar Azmin bagi jawatan timbalan presiden PKR.
20 calon dengan undi paling banyak pada 20 November ini akan menjadi anggota MPP yang baru. Seramai 88 calon bertanding jawatan itu.
Istilah kem Azmin dan Rafizi ditentukan melalui senarai yang calon yang diberikan kepada penyokong kedua-dua kumpulan.
Antara pendahulu utama dalam kem Azmin adalah Menteri Besar Selangor Amiruddin Shari (29,455 undi), Timbalan Speaker Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon (28,817 undi), Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah R Sivarasa (26,676 undi), ADUN Bukit Lanjan Elizabeth Wong (23,642) dan setiausaha politik Menteri Kerja Raya, Zakaria Abdul Hamid (23,442 undi).
Pendahulu dari kem Rafizi pula Anggota Parlimen Kapar Abdullah Sani Abdul Hamid (22,619 undi), Anggota Parlimen Setiawangsa Niz Nazmi Nik Ahmad (19,985 undi), Anggota Parlimen Merbok Nor Azrina Surip @ Nurin Aina (18,155 undi), engarah Strategik Biro Latihan Akademi PKR Zaliha Mustafa (17,855 undi) dan Anggota Parlimen Julau Larry Soon @ Larry Ng (17,658 undi).
Meskipun kem Azmin menguasai saingan jawatan MPP, Azmin sendiri dilihat berdepan cabaran sengit daripada Rafizi.
Setakat hujung minggu lalu, Azmin hanya mendahului dengan 34,383 undi berbanding Rafizi yang kini memperoleh 33,122 undi.
Azmin menambahkan jurang perbezaan undinya dengan Rafizi dalam dua minggu lalu apabila cabang PKR di Selangor, yang merupakan kubu kuatnya, mengundi.
Pusingan ketiga dan yang terakhir akan berlangsung hujung minggu ini namun ia melibatkan cabang yang merupakan kubu Rafizi, iaitu Pandan. Turut mengundi hujung minggu ini adalah Perak.
Kedah akan mengadakan pemilihan semula selama dua hari bermula esok selepas pemilihan sebelum ini menghadapi masalah teknikal.
Semak keputusan semasa saingan bagi jawatan MPP di laman khas Malaysiakini.
Jangan lupa semak juga laman khas berkenaan esok ketika hari pertama keputusan pengundian di Kedah mula masuk.


