Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rashid tegur isu menteri, timb menteri tak hadir Dewan Rakyat

Menteri dan timbalan menteri dinasihatkan merancang jadual mereka supaya dapat menghadiri persidangan Dewan Rakyat.

Meskipun memahami kesibukan anggota Dewan Rakyat di luar parlimen, Timbalan Speaker, Datuk Rashid Hasnon menegaskan bahawa keutamaan tetap perlu diberikan kepada Dewan Rakyat.

“Saya tahu menteri dan timbalan menteri sibuk, saya tahu ada jadual yang (padat) waktu bila ada dalam dewan terutamanya dalam dewan bersidang.

“Bagi pihak parlimen, minta pentadbiran menteri disiplin untuk hadir sebagaimana diaturkan.

“Kalau menteri tak dapat hadir, timbalan menteri kena hadir dalam sidang Dewan Rakyat. Mungkin keutamaan nak rasmikan (sesuatu acara) itu, ini mungkin boleh diatur dengan cara lebih baik lagi,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen, hari ini.

Rashid berkata demikian ketika diminta mengulas kehadiran menteri dan timbalan menteri yang kurang memuaskan dalam sidang Dewan Rakyat.

Terdahulu, Datuk Seri Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) tidak berpuas hati selepas Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Dr Mohd Radzi Md Jidin menjawab bagi pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) susulan menteri dan timbalan menteri tidak hadir.

Ali Anak Biju (PKR-Saratok) sebelum itu meminta KDN menjawab berkaitan status perancangan kementerian itu dengan keperluan pembinaan baru Ibu Pejabat Polis (IPD) Saratok bagi menggantikan ibu pejabat polis sekarang yang sudah beroperasi sejak 1954.

Bagaimanapun, soalan itu dijawab Mohd Radzi  yang seterusnya menimbulkan rasa tidak puas hati Wee.

Rashid bagaimanapun menjelaskan, soalan tersebut boleh dijawab oleh menteri atau timbalan menteri dari kementerian lain seperti yang dinyatakan dalam Peraturan Mesyuarat Seksyen 24.

Dalam sidang medianya, Wee berkata perkara itu tidak seharusnya berlaku dan beliau akan meminta speaker Dewan Rakyat membuat peraturan berhubung ketidakhadiran wakil rakyat.

“Kalau timbalan speaker tak buat peraturan, speaker kena buat. Kita orang beradab, bertamadun dengan cara baik kerana ini perkara tak elok dari pandangan masyarakat.

“Waktu pertanyaan menteri dan lisan, tak boleh ada alasan yang kata kita tak ada dan tak boleh jangka soalan itu akan naik, itu bukan helah dan alasan yang kita boleh terima,” katanya.

Wee turut memahami keadaan kesihatan Menteri KDN Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Namun, jelas Wee, ketidakhadiran timbalannya, Datuk Azis Jaman tidak dapat diterima. 

“Bagi saya, saya tak minta menteri datang, tapi sekurang-kurangnya timbalan menteri tak boleh lari. Kalau selama ini semua timbalan ada, kenapa kali ini tergamam tak boleh jawab?

“Mula-mula cakap siapa-siapa boleh jawab, lain kali tak payah lah. ini bukan pasar malam, ini Dewan Rakyat, sebab itu kita perlu menteri dan timbalan menteri berkenaan jawab betul-betul kepada pertanyaan yang diajukan kepada kementerian berkenaan,” katanya.

Lihat Komen
ADS