Sumber: Pentadbiran Najib didakwa guna dana BR1M bayar IPIC
Pentadbiran bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak didakwa menggunakan dana kerajaan termasuk yang diperuntukkan untuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi membayar hutang 1MDB kepada firma pelaburan International Petroleum Investment Company (IPIC), kata Timbalan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki.
Azam berkata demikian sebagai mengesahkan butiran daripada sumber yang memberitahu Malaysiakini bahawa pada 2017 kerajaan juga didakwa membayar IPIC menggunakan dana yang diperuntukkan untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA); yang dikatakan hasil penjualan tanah oleh Kementerian Kewangan kepada Bank Negara, selain dana yang diterima daripada "sumber asing di China".
Jumlah keseluruhan dana yang didakwa disalah guna untuk membayar IPIC adalah RM4.78 bilion.
Bagi menjelaskan enam pertuduhan yang dikenakan ke atas Najib dan bekas ketua perbendaharaan, Tan Sri Irwan Serigar Abdullah hari ini, sumber itu berkata kedua-dua mereka didakwa menyalahgunakan dana kerajaan yang diperuntukkan untuk projek Rangkaian Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan projek saliran paip bertujuan "memberi habuan kepada kontraktor asing".
"Pertuduhan pertama dan kedua ke atas Najib dan Irwan adalah berhubung penyalahgunaan RM1.855 bilion dana yang diperuntukkan kepada ECRL dan projek saliran paip.
"Wang itu diberikan kepada kontraktor asing yang seharusnya melaksanakan projek itu agar mereka dapat memenuhi keperluan yang ditetapkan Exim Bank di China sebelum mereka mendapatkan pinjaman bagi melaksanakan projek itu.
"Dan sebagai balasan untuk kerajaan mempertimbangkan menganugerahkan projek itu kepada kontraktor berkenaan, sebuah entiti di China membayar RM1.2 bilion. Wang RM1.2 bilion ini kemudian digunakan untuk membayar IPIC sebagai sebahagian penyelesaian hutang 1MDB," kata sumber itu.
Awal hari ini, Najib dan Irwan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dengan enam pertuduhan pecah amanah melibatkan RM6.63 bilion.

Azam mengesahkan kenyataan sumber ketika ditemui di luar mahkamah.
Jelasnya, empat pertuduhan ke atas Najib dan Irwan adalah berhubung bayaran kepada IPIC manakala dua pertuduhan lain berhubung dana kerajaan yang dikatakan dijadikan habuan untuk kontraktor asing.
1MDB yang diasaskan Najib merupakan firma pelaburan namun dikatakan mempunyai masalah hutang dan etika yang digunakan dalam urusan beberapa tahun selepas ditubuhkan pada 2009.
1MDB dikatakan meminjam RM42 bilion dan gagal membayar hutangnya. Ia kemudian diikuti dengan penjualan aset pada 2015 untuk menutup ketirisan.
Bagaimanapun, pada 2015, 1MDB menghadapi kesukaran membayar hutang bank AS$975 juta (RM3.6 bilion, jika mengikut tukaran wang ketika itu).
IPIC kemudia dikatakan menawarkan untuk ikat jamin 1MDB dengan pinjaman AS$1 bilion (RM3.57 bilion).
Namun, perjanjian antara 1MDB dan IPIC itu gagal, dan pada APril 2017, 1MDB perlu membayar IPIC AS$1 bilion itu dengan faedah sebanya AS$200 juta.

