Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib, Rosmah didoakan agar 'selamat seperti Nabi Nuh'

Betapa menebalnya kasih sayang penyokong Datuk Seri Najib Razak dan isteri Rosmah Mansor terpancar sekali lagi di mahkamah hari ini.

Walaupun jumlahnya begitu kecil tetapi mereka tetap istiqamah dan setia menunggu kemunculan pemimpin kesayangan masing-masing di mahkamah sejak pagi lagi.

Tidak cukup dengan itu mereka juga sempat meluangkan masa membacakan doa untuk keselamatan Najib sejurus sebelum beliau menaiki Proton Perdana meninggalkan kawasan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta.

"Ya Allah, ya Tuhan kami, macam mana kau selamatkan Nabi Nuh, begitulah kau selamatkan Datuk Seri Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor serta keluarganya di dunia sampai akhirat,” rayu seorang penyokong Najib yang mengetuai bacaan doa tersebut.

Selain Nuh, mereka turut mendoakan agar Najib dan keluarganya diselamatkan daripada kezaliman seperti menimpa Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa dan Muhammad (SAW).

“Ya Allah, kau tunjukkanlah kezaliman yang mereka lakukan ini. Ini terlalu zalim, ya Allah!” kata lelaki yang mengetuai bacaan doa itu lagi, sebelum diaminkan oleh beberapa penyokong yang lain.

Setelah itu, Najib yang turut menadah tangan di pintu keretanya bersalaman pula dengan penyokong-penyokong setianya sebelum berlalu pergi meninggalkan mahkamah.

Boleh mudaratkan negara

Untuk rekod Rosmah turut hadir di mahkamah pada hari ini.

Najib keluar dari pekarangan mahkamah kira-kira jam 2.40 petang selepas dia didakwa enam tuduhan pecah amanah melibatkan wang milik kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion.

Turut dituduh ialah bekas ketua setiausaha Kementerian Kewangan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Najib ialah menteri kewangan ketika kesalahan tersebut didakwa berlaku.

Di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Najib dan Mohd Irwan mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan tersebut dan minta dibicarakan.

Sementara itu ketika bercakap secara ringkas kepada pemberita di lobi mahkamah, Najib meminta agar rakyat negara ini tidak terkeliru dengan jumlah RM6.6 bilion yang didakwanya sekadar kedengaran menggemparkan.

“Saya nak nyatakan bahawa tidak ada dalam pertuduhan-pertuduhan tersebut bahawa keputusan yang dilakukan telah memberi keuntungan kepada diri saya.

“Saya berharap jangan terkeliru dengan angka, sebab kalau disebutkan RM6.6 bilion itu boleh menggemparkan.

“Tetapi dalam pertuduhan ia disabitkan dengan perlaksanaan projek dan pembayaran hutang yang perlu dilakukan,” katanya.

Najib turut menegaskan, segala keputusannya ketika masih berkuasa dahulu dilakukan demi kepentingan negara.

“Apabila kita berhutang, kita perlu jelaskan, kalau tidak ia akan memudaratkan ekonomi negara dan rakyat secara keseluruhannya.

“(Ia) juga untuk menyelesaikan beberapa aspek dari segi perlaksanaan projek-projek tertentu yang perlu kita lakukan mengikut kontrak.

“Insya-Allah kita boleh buktikan nanti di mahkamah bahawa semua keputusan bertujuan untuk kepentingan pentadbiran negara, tiada unsur keuntungan kepada saya mahupun Irwan,” katanya lagi.

Selain itu, Najib sempat mengulas tentang pertuduhannya yang didakwanya "tidak munasabah" selain berasa musykil dengan kelewatan penyerahan senarai pertuduhan.

“Senarai pertuduhan hanya diserahkan kepada pihak peguam lima minit sebelum perbicaraan dimulakan.

“Ini bukanlah cara ia sepatutnya dilakukan,” tambahnya lagi.

Lihat Komen
ADS