Hasanah terpaksa meminjam untuk bayar ikat jamin RM500,000
Bekas Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Hasanah Abdul Hamid berkata beliau terpaksa meminjam wang untuk membayar ikat jamin RM500,000 yang ditetapkan terhadapnya.
"Ya, saya terpaksa pinjam wang," katanya ketika ditemui di luar kaunter ikat jamin Kompleks Mahkamah Jalan Duta kira-kira pukul 3.40 petang tadi.
Beliau berkata demikian selepas ditanya sama ada beliau mampu membayar ikat jamin itu.
Namun ketika diminta mengulas lanjut tentang pertuduhan terhadapnya, Hasanah enggan mengulas dan meminta pemberita merujuk peguamnya.
Hasanah dihadapkan dengan pertuduhan pecah amanah jenayah atas kapasitinya sebagai ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) melibatkan dana kerajaan berjumlah AS$12.1 juta antara 30 April hingga 9 Mei tahun ini.
Baca: Hasanah mengaku tak salah pecah amanah AS$12.1 juta
Peguamnya Shaharudin Ali memohon agar ikat jamin dikurangkan kepada sekitar RM300,000 selepas ketua pendakwa Datuk Seri Gopal Sri Ram mencadangkan RM1 juta dengan dua penjamin.
Shaharudin memberitahu mahkamah bahawa Hasanah hanya mampu membayar RM300,000, dan akaun bank serta pencennya telah dibeku.
Beliau juga menyatakan beberapa sebab lain, termasuk Hasanah tidak berisiko untuk meninggalkan negara dan telah menyumbang kepada keselamatan negara.
Hakim Azman Ahmad kemudian menetapkan ikat jamin RM500,000 dengand dua penjamin, dan syarat tambahan iaitu Hasanah perlu menyerahkan pasportnya.

